Masa Untuk Berjalan-Jalan Makan Angin - Jakarta & Bandung #2

Ini adalah Koleksi Catatan Perjalanan - Masa Untuk Berjalan-Jalan Makan Angin - Jakarta & Bandung #2


Bangun seawal pukul 4:30 pagi dan Subuh sekitar jam 4:50 pagi memang terasa amat pelik pada mulanya. Cuaca memang agak sejuk di Bandung sekitar 24°C - 29°C dan sesuai dengan gelarannya "Parijs Van Java" (Paris of Java).

Aktiviti hari kedua ialah "Bandung Discovery Tour" dan membeli belah. "Bandung Discovery Tour" sebenarnya ialah melawat sekitar Bandung. Tempat-tempat yang dilawati termasuklah Institute Technolgy Bandung, Satay House, Jalan Asia Africa dan perumahan kolonial Belanda. Menurut Bapak Irwan Institute Technology Bandung telah melahirkan ramai pemimpin Indonesia dan merupakan salah satu pusat pengajian tinggi yang berprestij di Indonesia.

Bangunan di sekitar Bandung banyak dipengaruhi senibina kolonial Belanda. Kesemua tempat-tempat tersebut selesai dilawati dalam masa 35 minit.



Sekitar pukul 10:00 pagi, kami ke Jalan Riau, untuk meneruskan aktiviti yang paling ditunggu-tunggu iaitu "shopping"! Masa yang diberikan cuma 2 jam di sekitar kawasan tersebut. Memang tak mencukupi untuk membeli belah jika 2 jam sahaja di peruntukan untuk aktiviti tersebut. Semuanya perlu dilakukan denga pantas. Apa boleh buat kami terpaksa mengikut program yang telah ditetapkan.

Sempatlah kami ke beberapa buah "factory outlet" yang berada di sekitar The Summit Boutique Outlet. Pakaian yang di jual memang murah! Cuma perlu berhati-hati kerana tak semua tulen. Kena pandai memilih.

Setelah selesai di Jalan Riau, kami ke Pasar Baru. Seperti sebelumnya masa yang diperuntukan cuma 2 jam. Pasar Baru terkenal dengan "Islamic product" seperti tudung, telekung, jubah dan pakaian muslim dan muslimah. Semuanya dijual dengan harga yang amat berpatutan. Tawar menawar tak berapa berkesan sangat di sini kerana ianya sememangnya "Wholesale Center". Harga diantara kedai pun tidak banyak berbeza. Jika jumpa yang berkenan beli terus!



Kami menikmati makan tengahari di aras 6 Pasar Baru. Hidangan yang ringkas tapi lengkap. Tetapi lupa pula apa nama hidangan tersebut! Lebih kurang macam ayam penyet la.. Terperasan juga di Bandung yang ayam-ayamnya besaiz kecil. Mungkin ayam kampung kot! Selesai makan tengahari, kami meneruskan aktiviti membeli belah di Pasar baru.





Selepas itu kami ke Jalan Setiabudi, di mana terletaknya Rumah Mode. Sekali lagi kami di beri 2 jam untuk menjelajah ke sekitarnya. Harga di Rumah Mode agak mahal berbanding dengan "factory outlet" yang lain tetapi kualitinya lebih baik. Kami tidak berada lama di situ kerana terlalu ramai pengunjung membeli belah di situ. Kami sebaliknya banyak menghabiskan masa ke sekitarnya yang tidak kurang meriahnya.




Setelah puas berbelanja dan membeli belah, tiba masanya untuk menikmati makan malam. Kali ini kami menuju Bukit Dago Pakar untuk ke Sierra Cafe. Restoran ini menyajikan makanan barat, Jepun dan Thai.

Perjalanan yang agak jauh ke Sierra Cafe. "Sejak di dalam bas tertanya-tanya kalau dah berjalan sejauh ini untuk makan malam, kalau tak sedap tak tau la nak cakap apa.. " Sebaik sahaja menjejakan kaki ke restoran, terasa hawa sejuk kawasan bukit. Memang sejuk! Lain kali kalau nak makan di sini kena bawa jaket atau baju lengan panjang!




Alhamdulillah makanannya cukup sempurna dan sedap! Di sebabkan kumpulan kami ini agak ramai, ada sedikit kekeliruan tentang makanan yang dipesan tetapi tetap tidak menjejaskan suasana gembira sepanjang berada di situ. Suasana yang nyaman dan sejuk berlatar belakang Bandung dari atas bukit menyerlahkan keindahan Bandung di waktu malam!

Selesai makan malam kami kembali ke hotel penginapan untuk merehatkan badan setelah penat berjalan dan membeli belah. Walaupun letih, kami seronok dan gembira.

0 comments:

Copyright © 2017 BEAM™