BEAM

Bila Encik Anif Menulis (BEAM)

Trending

30 Jun 2010

Jun 30, 2010

Penangan Jibbitz™

Hujung minggu yang lalu Kami sekeluarga ke Festive Street Mall, Danga Bay. Tujuan ke sana ialah untuk pergi ke gerai seorang kenalan yang menjual Jibbitz™. Memang sudah lama merancang untuk membelinya buat Nurin Iman dan Nurin Amani. 

Setelah sampai di sana, dengan tidak berlengah terus mencari gerai kenalan tersebut. Kami begitu teruja dengan Jibbitz™ yang banyak dijual di gerainya. Bermacam-macam bentuk dan corak rekaan. Semuanya menarik. Oleh kerana hanya Nurin Iman dan Nurin Amani yang memakai Crocs, Kami memberi peluang pada Nurin Iman untuk memilih manakala Jibbitz™ untuk Nurin Amani dipilih oleh Azza.






Kalau setahun yang lepas Dia begitu obses dengan Mickey, Minnie Mouse dan Spongebob. Jadi Kami menjangkakan Nurin Iman akan memilih Jibbitz ™ berkaitan watak-watak kartun. Walau bagaimanapun  tanggapan Kami silap!

Nurin Iman memilih Jibbitz bercorak Rama-Rama! Jibbitz™ kartun dan seumpamanya tidak dihiraukannya. Mungkin juga Nurin Iman sudah besar dan bersekolah, maka pilihannya juga telah menampakkan kelainan.

Buat si adik pula, Jibbitz™ Upin dan Ipin menjadi pilihan Kami kerana Nurin Amani sangat gemar menonton siri berkenaan. Walaupun telah diulang beberapa kali, Dia tidak akan jemu menonotonnya!






Sebaik sahaja Jibbitz™ dibeli, Kami terus memasangnya dan itu bukan satu tindakan yang bijak sebenarnya! Sepatutnya Kami memasangnya apabila sudah sampai di rumah.

Selepas dipasang, kedua-dua anak Kami tidak dapat berjalan dengan betul kerana mata mereka hanya tertumpu pada bahagian kaki semasa berjalan! Dan yang paling teruk ialah Nurin Amani sehinggakan ada insiden dimana Nurin Amani terjatuh melanggar orang kerana Dia begitu asyik melihat Jibbitz™ di sandalnya..  :D

27 Jun 2010

Jun 27, 2010

Kopitiam

Balik dari menyelesaikan kerja di cawangan Kulai, Aku menumpangkan rakan sekerja yang bertugas di sana. untuk pulang ke rumahnya.  Di dalam perjalanan rakan sekerja itu memberitahu selalunya sebelum beliau sampai ke rumah, Dia mesti singgah ke kopitiam untuk minum kopi. 





Oleh kerana beliau tinggal berdekatan dengan Kip Mart Tampoi, beliau selesa minum di Seng Kopitiam. "Best" katanya. Hari itu Aku menemanimya minum di sana. Sekali sekala apa salahnya dan sekali sekala pekena kopi memang sedap!






Suasana di kopitiam memang agak berbeza dengan kedai mamak. Mungkin susana itulah yang membuat kopitiam lebih menarik. Pengusaha kopitiam sememangnya berjaya menjual konsep! Mereka berjaya memodenkan konsep kedai kopi lama untuk disesuaikan dengan zaman kini.

Produk jualan masih tetap sama seperti dahulu yang berbeza cuma suasana. Banyak yang boleh dipelajari  daripadanya. :D

23 Jun 2010

Jun 23, 2010

Mengurus Dan Mengemaskini URL Link

Setelah beberapa hari merancang, akhirnya Aku mengambil keputusan untuk membuat beberapa perubahan terhadap blog ini.

Perkara pertama yang Aku lakukan ialah mereka semula "Header | Banner". Maklumlah rasa jemu pula mata melihat "Header | Banner" yang lama. Jadi Aku buatlah yang baru. Cuma kali ini ia lebih kecil.  Tujuannya ialah untuk memastikan "Page Loading" lebih pantas.


Kedua, Aku mengemaskini segala "URL Link" rakan-rakan blogger dan mengumpulkannya di bahagian "Link Exchange". Oleh kerana link tersebut sudah terlalu banyak, sudah sampai masanya membuat sedikit kerja mengemaskini.

Kerja-kerja mengemaskini ini perlu dilakukan kerana ada sesetengah blog yang telah dijadikan "Private" atau akaun blog yang telah dipadam. Jadi ia perlu diperiksa satu persatu.(berfungsi juga sebagai sebahagian daripada aktiviti "Blog Walking")  Jenuh juga memastikan kesemua link tersebut berfungsi! Tetapi ia memang berbaloi melakukannya.

20 Jun 2010

Jun 20, 2010

Nurin Amani Sudah 2 Tahun!

Alhamdulillah tanggal 17 Jun yang lepas kami dapat menyambut hari jadi Nurin Amani yang ke 2 tahun. Walaupun sambutannya ringkas, ia tetap meriah. Meriah dengan keletahnya :D


Sekarang Nurin Amani sudah genap 2 tahun. Dia semakin aktif dan sudah pandai bercakap walaupun Kami sekeluarga tidak berapa faham akan apa yang dicakapnya.



15 Jun 2010

Jun 15, 2010

Nurin Iman Sudah Genap 6 Tahun

Alhamdulillah, Pada setiap 13 Jun kami tidak pernah gagal untuk menyambut hari ulang tahun Nurin Iman. Tahun ini genap usianya 6 tahun. 3 hari lagi harijadi adiknya pula menyusul. Kedua-duanya lahir pada bulan Jun!  Jadi bulan Jun memang penuh dengan peristiwa buat keluarga kecil kami.




Pernah juga cuba untuk menyambutnya serentak.. tetapi agak sukar untuk memujuk Nurin Iman untuk menunggu 3 hari lewat. Maklumlah dia ingat tarikh hari lahirnya. Jadi idea untuk menyambut serentak harijadi mereka terpaksa dilupakan. Memang tidak berapa praktikal buat masa ini.






Seperti tahun-tahun terdahulu, acara tradisi kami ialah membeli kek harijadi pilihannya sendiri! Tahun ini Nurin Iman memilih kek "Power Puf Girls". Kami tiada masalah untuk memenuhi permintaannya, asal dia puas hati dan gembira dengan pilihannya.

Selepas selesai membeli kek, kami ke Badan Book Store untuk membeli set "Water Colour" pertamanya, memandangkan ada tugasan dan kerja sekolahnya yang memerlukan "Water Colour". Set tersebut bolelahlah dianggap sebagai hadiah harijadi untuknya :D






Kami menyambut hari jadi Nurin Iman dengan serba ringkas. Alhamdulillah majlis kecil tersebut berjalan dengan teratur dan sempurna.


10 Jun 2010

Jun 10, 2010

Single Yellow Zig Zag Line

Kalau kita ke tempat lain, tentu ada sahaja perkara yang menarik perhatian. Pernah nampak garis kuning bercorak zig zag di tepi jalan raya?

Gambar ini diambil di Budget Terminal, Changi Airport ketika pulang dari Jakarta tahun lepas. Kalau di negara kita memang tiada garisan seperti ini dan sebab itu ia amat menarik perhatian!


07 Jun 2010

Jun 07, 2010

Buku Besar Saya

Alhamdulillah, Nurin Iman sudah boleh membaca. Dia sudah pun berjaya menghabiskan siri pertama "Buku Besar Saya". Mengikut perjanjian awal antara Nurin Iman dan Abahnya, jika dia berjaya menghabiskan buku tersebut.. Abah akan membelikannya buku baharu! Janji tersebut telah pun ditunaikan pada minggu lepas!



Kanak-kanak sebaya Nurin Iman seharusnya didorong untuk membaca ketika di rumah. Benar kana-kanak diusia begini dihantar ke sekolah tadika, tetapi melepaskan kesemua tanggungjawab kepada cikgu adalah tidak adil. Akhirnya anak-anak ini akan ketinggalan.

Jika mahu anak-anak berjaya, ibubapa perlu proaktif. Lagipun yang ditolong itu ialah anak sendiri bukannya orang lain. Jangalah berkira sangat..


05 Jun 2010

Jun 05, 2010

Modenas Jaguh 175 - Valve Bengkok!

Cuti Hari Wesak yang lepas telah digunakkan untuk menyihatkan kembali Jaguh! Masalah kekurangan kuasa dan akhirnya menyebabkan dia tidak mahu hidup langsung. Punca sebenarnya ialah ketiadaan "compression" pada kebuk piston.

Akhirnya "head" enjin terpaksa dibuka! Salah satu daripada "Valve" telah pun sedikit bengkok! "Valve" minyak untuk lebih tepat lagi.  Setelah hampir 11 tahun berkhidmat, akhirnya ia rosak!  Nasib baik juga kerosakkanya tidak teruk, hanya melibatkan "Valve" tersebut tetapi apabila enjin telah dibuka, Aku mengambil keputusan untuk menukar juga "Timing Chain" dan menggantikan "Piston Ring" sekali.


 
Modenas Jaguh 175 - Valve Bengkok!
Modenas Jaguh 175 - Valve Bengkok!



Panik juga buat seketika kerana tiba-tiba enjin Jaguh mati ketika balik dari kerja tempohari.  Nasib baik mati berdekatan dengan bengkel, tidaklah letih sangat untuk menolaknya. Memang sungguh bernasib baik ! Cuti 3 hari yang panjang itu digunakan sepenuhnya untuk membaiki Jaguh dan mengujinya untuk memastikan ia benar-benar cukup sihat untuk digunakan semula.


Sudah hampir seminggu Jaguh digunakan semula. Alhamdulillah, semuanya sudah kembali ke sedia kala.Susah kalau Jagun tidak dapat digunakan, maklumlah kalau memandu kereta ke tempat kerja sudah rasa seperti tidak berbaloi kerana terpaksa menempuh projek pembinaan "Coastal Highway" yang dijangka siap 3 tahun lagi.. Menggunakan Jaguh hanya memerlukan 20 minit untuk ke tempat kerja berbanding 1 jam berkereta !


04 Jun 2010

Jun 04, 2010

Setiap 31 Mei..

Kira-kira pukul 4 petang Aku memberitahu Azza melalui telefon supaya tidak memasak untuk makan malam. Aku bercadang untuk membawa mereka makan diluar. Sebenarnya setiap 31 Mei ialah hari ulang tahun perkahwinan kami.






Cuma kali ini kami memberi peluang pada anak-anak untuk memilih tempat makan. Selalunya kami yang menentukannya. Nurin Iman pula mengatakan yang dia sudah lama tidak makan burger! (Rasanya baru minggu lepas Azza memasak burger di rumah!) Baiklah, pilihan yang amat jelas dan kami ke McDonalds!






Masa memang cepat berlalu, tidak sangka sudah 7 tahun kami berkahwin dan mempunyai 2 orang cahaya mata! Tahun hadapan Nurin Iman akan masuk ke darjah 1 manakala adaiknya Nurin Amani sudah pun menjangkau usia 2 tahun.






Selesai makan, kami ke kedai buku berhampiran untuk membeli buku cerita buat Nurin Iman. Alhamdulillah sekarang dia sudah boleh membaca dengan agak baik. Cuma bahan bacaannya perlu sentiasa ditambah dari semasa ke semasa untuk mengelakkan dia daripada cepat bosan.

Sambutan hari ulang tahun perkahwinan kami sangat ringkas.. Kami ke McDonalds dan kemudiannya ke kedai buku! :D

03 Jun 2010

Jun 03, 2010

Bujang Selamat

Aku telah melihat "trailer" untuk filem terbaharu The Karate Kid (2010), tiba-tiba teringatkan cerita yang hampir serupa jalan ceritanya (mengambil inspirasi)  Karate Kid yang pertama ditayangkan sekitar tahun 1984.

Cerita yang bertajuk Bujang Selamat! Dilakonkan oleh Faizal Hussien dan  Allahyarham R. Jaafar ditayangakan pada tahun 1985. Filem ini diarahkan oleh Z. Lokman.






Terfikir juga alangkah baiknya jika filem Bujang Selamat ini di "remake" semula. Mesti seronok.. Katakanlah tajuknya Bujang Selamat 2010 :D 

Hollywood juga sudah kekeringan idea, "Produser" pula takut melabur pada projek baru atau mencuba dimensi baru dalam dunia perfileman. Mereka kini hanya menggunakan formula lama untuk memancing penonton! Kalau tak silap lepas ini The A-Team (remake) akan ditayangkan sekitar pertengahan Jun 2010!


Kredit (gambar) - sinemamalaysia

02 Jun 2010

Jun 02, 2010

Daftar Domain Dapat Mee Rebus!

Tengahari semalam Aku membantu seorang rakan mendaftar domain dot com dan kemudiannya mengaktifkan domain tersebut untuk blognya.  Yang kelakarnya, Aku pun masih belum ada domain dot com! Bukan tak berminat untuk memiliki domain dot com, cuma masalahnya nama yang Aku hendak itu sudah didaftarkan oleh pihak lain..

Sebagai tanda penghargaan, petang itu Aku dibelanja makan Mee Rebus dan Otak-otak di Warung 60an berhampiran pejabat. 




Makan Mee Rebus beserta Otak-otak memang merupakan kombinasi sempurna. Ditambah pula dengan segelas Teh O Ais Limau yang menyegarkan.