BEAM

Bila Encik Anif Menulis (BEAM)

Trending

31 Disember 2010

Disember 31, 2010

Nurin Iman Ke Sekolah

Hari cuti peristiwa yang diberikan hari ini digunakan sepenuhnya untuk melengkapkan persediaan Nurin Iman yang bakal ke darjah 1 pada sesi persekolahan yang bermula pada minggu hadapan.  

Sempat juga pergi ke pusat membeli belah berdekatan dengan kediaman kami untuk meninjau apa  lagi barangan yang perlukan. Oleh kerana kami telah mula membuat persediaan sejak bulan September yang lalu, jadi tidak banyak lagi kelengkapan persekolahan yang perlu dibeli kecuali kelengkapan alatulis dan kasut.





Tidak dapat dinafikan, walaupun anak yang hendak bersekolah begitu teruja untuk ke sekolah, ibu dan bapa juga tidak terkecuali. Lebih-lebih lagi buat keluarga seperti kami yang pertama kali mempunyai anak yang bersekolah rendah! 

Cuma apa yang kami pelajari sepanjang membuat persediaan bagi Nurin Iman untuk ke sekolah ialah tidak perlu terburu-buru membeli kasut seawal yang mungkin kerana yang pastinya kanak-kanak  memang cepat membesar. Bayangkan kasut baharu yang dibeli sekitar bulan September tempohari hampir sempit walaupun ia pada mulanya dibeli besar! 


30 Disember 2010

Disember 30, 2010

Malaysia Juara AFF Suzuki Cup


Tidak perlu diulas lagi.. Kejayaan sah milik kita. Maruah bola sepak telah ditebus. Tahniah buat Pasukan Bola Sepak Malaysia :)

Dan yang menambahkan lagi kegembiraan apabila Perdana Menteri Malaysia mengistiharkan Hari Jumaat 31/12/2010 sebagai cuti umum. Yey!!

29 Disember 2010

Disember 29, 2010

Tahun 2011, Penampilan Terkini

Tidak lama lagi kita akan meninggalkan tahun 2010. Bersempena dengan kedatangan tahun 2011, blog ini diberi sedikit perubahan untuk mendapatkan mood serta semangat yang baru.  

"Template" dan "layout" masih dikekalkan, cuma "background" beserta "header" diubah sedikit dengan mengambil inspirasi daripada "Android".




Antara perubahan dan widget yang dikonfigurasi semula untuk mendaptakn kesan yang paling optimum yang telah dibuat ialah:

  • Mengkonfigurasi semula "Intense Debate".
  • Menggabungkan "Header" bersama "iklan".
  • Mengemaskini "RSS feed".
  • Mengintegrasi aplikasi "Social Networking".

Tujuan utama kerja-kerja penambahbaikan ini dilakukan ialah untuk mengoptimukan ruang, menjadikan layout seringkas yang mungkin, mempercepakan akses dan menampilkan imej lebih segar.

Bagi pengguna blogger, tentunya masalah mengintegrasi header berserta iklan menjadi cabaran utama. Biasanya hanya "Premium Template" yang mempunyai fungsi tersebut. Kini masalah tersebut berjaya diselesaikan. Hasilnya ia menjimatkan banyak ruang dan blog kelihatan lebih kemas dan ringkas.

28 Disember 2010

Disember 28, 2010

Bercuti Itu Recharge

Bila sudah habis bercuti dan kembali semula ke tempat kerja, seperti macam ada yang tidak kena.  Maklumlah bila mula bercuti tempohari, otak akan secara automatik melupakan perihal kerja dan memberi tumpuan pada aktiviti yang dirancang. 



Yang pastinya untuk memulihkan kembali mood,"timing" serta kebiasaan menjadi satu cabaran. Untuk mengembalikan rutin normal sebelum bercuti mungkin mengambil masa beberapa hari.  

Namun kebaikan bercuti tidak dapat dinafikan. Bercuti sebenarnya mampu memulihakan semangat, meningkatkan motivasi, merehatkan badan serta minda dan memberi ketenangan. Bercuti umpama mengecas semula bateri :)  Namun begitu, terlalu lama sangat bercuti pun tidak baik.

27 Disember 2010

Disember 27, 2010

Tetamu Dari Seremban

Kalau tidak disebabkan abang ipar memberitahu yang dia sekeluarga akan datang ke Johor Bahru, tentu kami masih lagi berada di Melaka. Jadi kami mengambil keputusan untuk balik ke Johor Bahru pada hari Khamis dan menunggu mereka yang akan sampai dari Seremban. 

Kami selamat sampai di Johor Bahru sekitar pukul 3 petang manakala tetamu dari Seremban sampai pada pukul 6 petang. Sela masa 3 jam itu digunakan untuk berehat secukupnya kerana kami merancang untuk membawa mereka ke sekitar Bandaraya Johor Bahru pada sebelah malamnya. Kali ini kami menjadi tuan rumah dan pemandu pelancong kepada mereka. 

Selepas menikmati hidangan makan malam di sebuah medan selera di Bandar Baru Uda, kami ke destinasi pertama iaitu  Danga Bay. Bagi warga Johor Bahru memang tiada apa yang menarik dan berubah jika sudah lama tidak ke sini. Cuma kebelakangan ini semakin banyak kapal layar dan bot mewah yang berlabuh di marina.



Aktiviti wajib semasa berada di Danga Bay tentunya menaiki tram (keretapi) dari marina ke Festive Street Mall dan kembali semula ke marina.  Seperti biasa anak-anaklah yang paling seronok ketika menaikinya. Bagi Nurin Amani, nampaknya dia terlepas keseronokan menaiki tram kerana beliau tidur ketika menaikinya.
 
Selepas itu kami ke Bazar JB untuk melihat aktiviti malam warga Johor Bahru. Oleh kerana kami ke sini bukan pada malam minggu, tidak ramai peniaga barangan "vintage" dan terpakai  yang berniaga.





Sebaik sahaja sampai ke Bazar JB, Nurin Amani telah sedar dari tidur. Cuma dia malas hendak berjalan. Mujur juga "stroller" memang sentiasa ada didalam kereta. Kalau tidak tentu letih mendukungnya. Kami menghabiskan masa kira-kira sejam di Bazar JB sebelum mengambil keputusan untuk pulang ke rumah sekitar jam 12:00 malam.

Apa yang pasti kewujudan Bazar JB telah berjaya memberi sedikit keunikan terhadap Bandaraya Johor Bahru di waktu malam.  Kalau ada kawan-kawan dan saudara mara yang datang ke Johor Bahru, tentunya lokasi ini boleh diperkenalkan kepada mereka.


26 Disember 2010

Disember 26, 2010

Melaka - Bahagian 2

Sepanjang berada di Melaka, kami bermalam di rumah adik yang terletak di Batu Berendam. Kami memulakan perjalanan dari Seremban manakala ahli keluarga yang lain memulakan perjalanan dari Kluang dan mereka sudah pun berada di Melaka sehari lebih awal.  Sebab itu untuk aktiviti yang pertama, kami agak ketinggalan.

Sebaik sahaja keluar dari Zoo Melaka,  kami memberitahu tuan rumah supaya membawa kami ke hypermarket yang berhampiran untuk membeli sedikit barangan dapur untuk makan malam kami semua. Maklumlumlah adat menumpang kena juga menghulur apa yang perlu :)

Selepas makan malam, kami merancang untuk keluar semula di sekitar Bandar Melaka. Lokasi pertama yang di tuju ialah Dataran MBMB  Bangunan Graha Makmur, Air Keroh. Persekitaran yang cantik terutamanaya pada waktu malam kerana dilengkapi pelbagai lampu yang berwarna warni, serta kemudahan taman permainan kanak-kanak dan pancuran air.  Sangat sesuai untuk aktiviti riadah bersama keluarga.  



Apa yang pasti kanak-kanak memang seronok sepanjang berada di Dataran MBMB kerana dapat mereka dapat berlari, kejar mengejar dan bermain sepuas hati tanpa gangguan. Cuma ibu bapa perlu sentiasa waspada demi keselamatan anak-anak.

Setelah puas berada di Dataran MBMB, kami ke lokasi seterusnya iaitu Melaka River Pirate Park.  Taman tema yang dibangunkan diatas tapak lama stesyen bas. Lokasi yang menarik kerana berlatar belakangkan Sungai Melaka dan Kampung Morten yang bergemerlapan di malam hari. 



Banyak yang sudah berubah di Melaka terutama pembangunan dan projek pengindahan di sepanjang Sungai Melaka.  Hasilnya, kawasan yang dahulunya tidak bermaya sudah bertukar menjadi tempat menarik dan mesra pelancong.  

Insyallah, jika masa mengizinkan kami akan ke Melaka lagi. Maklumlah satu hari di Melaka tentunya tidak cukup untuk meneroka tempat-tempat menarik, mencuba kepelbagaian makanan serta bertemu rakan lama.

25 Disember 2010

Disember 25, 2010

Melaka - Bahagian 1

Seperti yang dirancang, kami ke Melaka untuk meneruskan aktiviti cuti-cuti. Tentunya lokasi pertama yang wajib untuk dilawati ialah A`Famosa. Oleh kerana kami sudah agak lewat tiba di situ, ahli keluarga yang lain sudah pun menghabiskan lawatan disekitar kawasan tersebut.  Sempat juga  menyertai mereka untuk makan tengahari bersama di medan selera yang berdekatan dan selepas itu memulakan program melawat A`Famosa.

Kami naik sehingga ke puncak bukit untuk mengambil beberapa keping gambar dan menghayati seketika permandangan disekitarnya. Tidak dapat lama diatas kerana Nurin Amani sudah mula menangis sebaik sahaja kami memulakan perjalanan untuk naik ke puncak bukit. Sehinggakan semasa kami turun pun dia masih lagi menangis.  Rasanya boleh menang anugerah menangis paling lama di Malaysia sambil naik dan turun Bukit Saint Paul!




Punca Nurin Amani menangis tak henti-henti kerana dia tidak mahu didukung semasa  kami hendak melintas jalan.  Nampaknya anak yang seorang ini memang cukup keras hati. Personaliti yang cukup berbeza dengan kakaknya dan tentunya menyerlahkan lagi kepelbagaian dalam keluarga kami.

Sebaik sahaja kami menyelesaikan misi di A`Famosa, kami bergegas ke Zoo Melaka untuk menyertai ahli keluarga yang lain yang sudah pun berada di sana. Tidak lengkap ke Melaka kalau tidak melawat Zoo Melaka. 






Mujur juga sebaik tiba di Zoo Melaka, Nurin Amani sudah tidak menangis lagi. Mungkin bila diberitahu  boleh melihat binatang yang ada di situ buat dia bersetuju untuk berhenti menangis!

Sebenarnya kalau ke Zoo memang khas untuk mengembirakan kanak-kanak. Jadi lawatan ke sini khas buat Nurin Iman dan Nurin Amani yang mungkin sudah bosan  dengan bandar Johor Bahru. Sekali sekala bertukar angin..



22 Disember 2010

Disember 22, 2010

Cabaran Berblog Dengan GPRS

Alhamdulillah sejak mula bercuti tempohari, Aku masih dapat lagi mengekalkan kekerapan mengemaskini blog ini sekurang-kurang satu "entry" sehari. 

Memang tidak dapat dinafikan apabila balik ke kampung cabaran untuk berblog menjadi lebih tinggi. Maklumlah di kampung, capaian internet mudah alih hanya berkelajuan GPRS. Sekadar cukup untuk mengemaskini blog, memeriksa email dan mengakses halaman web rangkaian sosial.  Halaman web yang lain seperti YouTube dan seumpamanya yang memerlukan capaian internet berkelajuan tinggi terpaksa dilupakan. 



Walau bagaimana pun Aku tetap bersyukur kerana ia masih lebih baik daripada tiada capaian internet langsung! Jadi tidaklah terlepas mengikuti perkembangan semasa.

Cabaran berblog dengan kelajuan capaian GPRS memang tinggi terutama jika terdapat banyak gambar yang hendak di muat naik ke blog. Oleh kerana kelajuan GPRS hanya setara Dial Up iaitu lebih kurang 56 kpbs, segala imej dan gambar yang hendak di muat naik hendaklah dikecilkan saiznya terlebih dahulu menggunakan perisian "Photo Editing" seperti Photoscape. Selepas gambar-gambar tersebut dikecilkan, baharulah agak mudah untuk memuat naik gambar ke blog.

Seperkara lagi, untuk kembali aktif ber "blog walking" pada kadar biasa agak sukar akibat daripada kekangan tersebut. Namun begitu segala komen diblog akan cuba dibalas secepat yang mungkin.  

21 Disember 2010

Disember 21, 2010

Sebentar Di Anjung Tinjau KLIA

Dahulu ketika Nurin Iman lebih kurang sebaya dengan Nurin Amani sekarang, kami telah membawanya ke sini untuk melihat kapal terbang. Sekarang sudah tiba giliran Nurin Amani pula. 

Petang tadi ketika diberitahu supaya  bersiap-siap untuk pergi ke KLIA, mereka berdua bukan main seronok lagi. Walaupun sudah agak lama kami tidak ke sana, Nurin Iman masih ingat  lagi tempat tersebut kerana di dalam komputer di rumah masih tersimpan gambar-gambar serta klip video mengenainya.




Sebaik tiba di KLIA terus menuju ke Anjung Tinjau untuk melihat kapal terbang seberapa dekat yang boleh. Kanak-kanak tentu seronok berada di sini kerana mereka dapat melihat kapal terbang keluar dan masuk ke "parking bay".



KLIA ini banyak menyimpan kenangan sebenarnya. Azza pernah bekerja di sini sejak awal pembukaannya. sekitar tahun 1997  sehingga  tahun 2003.  Memang sudah banyak yang berubah terutama di kawasan sekitarnya. 




Kawasan yang dahulunya agak mati iaitu Bandar Baru Salak Tinggi serta Bandar Baru Nilai sudah nampak hidup dengan pelbagai aktiviti perniagaan.

Berdasarkan pemerhatian, kesan langsung limpahan kemajuan yang dibawa oleh KLIA bukan datang sekelip mata. Untuk mencapai keadaan sekarang ia memerlukan sekurang-kurangnya 10 tahun!


20 Disember 2010

Disember 20, 2010

Nasib Bunga Manggar...

Seperti yang dirancang kami ke rumah pengantin lelaki yang terletak di Taman Tunku Jaafar dan seterusnya mengiringi mereka ke rumah pengantin perempuan di Lenggeng. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 45 minit melalui Jalan Kampung Pantai.

Memang inilah kali pertama kami melalui jalan ini. Antara jalan yang dianggap menarik kerana keadaan jalannya yang banyak selekoh dan suasana kehijauan disepanjang perjalanan.  Jalan yang kami lalui itu juga merupakan laluan yang sama menuju ke Hutan Lipur Lenggeng.  Nampaknya kami telah jumpa satu tempat yang menarik untuk dilawati pada masa akan datang secara tidak sengaja. :)






Kami selamat tiba ke destinasi tepat pada waktunya. Hujan mulai turun tetapi tidaklah terlalu lebat seolah-olah menunggu pengantin selamat tiba betul-betul di rumah pengantin perempuan.

Sebaik sahaja pengantin lelaki masuk ke rumah untuk bersanding, baharulah hujan turun dengan agak lebat.  Seperti majlis perkahwinan yang lain majlis ini agak sederhana tetapi meriah bertemakan warna ungu dan putih.






Bila ada majlis perkahawinan antara yang paling gembira tentunya kanak-kanak. Tetapi apa yang diperhatikan tahap kemeriahan kanak-kanak dahulu dan sekarang bila berada di majlis pekahwinan amat berbeza sama sekali.

Kalau Dahulu..



Kalau dahulu sebaik sahaja selesai kompang dipalu, kanak-kanak akan berebut-rebut mengambil bunga manggar seoalah-olah ia adalah aktiviti wajib. Yang paling mendapat paling banyak bunga manggar tentunya menjadi perhatian.




Reliti Kini..



Kini aktiviti terebut sudah hampir pupus! Rasanya hingga selesai majlis tersebut pun belum tentu ada kanak-kanak yang mengambil bunga manggar! Mungkin kecenderungan kanak-kanak sudah berubah sekarang atau zaman yang telah mengubah mereka?




Apa-apa pun tahniah diucapkan kepada kedua mempelai ini kerana telah sah menjadi suami isteri. Selepas ini tentunya kehidupan akan menjadi lebih fokus berbeza ketika zaman bujang dahulu.


19 Disember 2010

Disember 19, 2010

Alhamdulillah Kami Selamat Sampai

Kami telah selamat sampai ke Seremban kira-kira jam 11:30 malam tadi. Alhamdulillah semuanya mengikut perancangan. Berhenti seketika untuk solat maghrib sebelum memasuki Tol Skudai di Stesyen Minyak Petronas dan berhenti sekali lagi untuk makan malam di hentian Rehat dan Rawat  Machap.

Memang agak banyak kenderaan di atas lebuh raya terutamanya kenderaan berat, namun itu adalah permandangan biasa setiap kali membuat perjalanan malam.

Esok kami akan ke Lenggeng untuk menyertai rombongan menghantar pengantin. Acara yang menarik bagi memulakan percutian ini :)


18 Disember 2010

Disember 18, 2010

Menghabiskan Cuti Tahunan

Tahun 2010 semakin hampir ke penghujung,  Namun cuti tahunan masih lagi berbaki 5 hari lagi. Oleh kerana polisi syarikat yang tidak membenarkan cuti tersebut dibawa ke tahun hadapan tanpa sebab-sebab yang kukuh, Aku mengambil keputusan untuk menghabiskan kesemuanya serentak pada minggu hadapan.

Ya, Aku akan bercuti panjang bermula 20 Disember sehingga 24 Disember 2010 dan kesempatan cuti yang panjang ini akan digunakan untuk membawa keluarga berjalan-jalan serta balik ke kampung.  Destinasi yang dituju ialah Seremban, Melaka dan Kluang. 

Nampaknya sepanjang minggu hadapan, Aku tidak dapat mengemaskini blog pada kadar biasa dan melawat blog rakan-rakan yang lain. Walau bagaimanapun Aku akan cuba mengemaskini blog ini jika keadaan mengizinkan.

Mungkin semasa berjalan-jalan itu, "Live Blogging" boleh dibuat. Sesuatu yang menarik untuk dicuba! :)

15 Disember 2010

Disember 15, 2010

Twitter Dan Digg Kini Menjadi Teman "Entry"

Kini sudah hampir sempurna proses menaik taraf  blog ini untuk lebih mesra aplikasi rangkaian sosial. Memang diakui jika tidak meletakkannya diblog, seolah-olah blog ini ketinggalan trend semasa. 

Lagipun dengan adanya integrasi ini akan memudahkan pengunjung memberikan respon pantas terhadap artikel yang disiarkan sekiranya pengunjung  tidak berminat meninggalkan komen.



Bermula dengan Facebook sekitar bulan Oktober yang lepas dan kini diikuti oleh Twitter dan Digg. Ketiga-tiga aplikasi rangkaian sosial ini diberi perhatian utama  kerana berpendapat aplikasi tersebut adalah yang paling popular buat masa ini.  

Alhamdulillah segala proses mengemaskini blog ini telah berjalan dengan lancar dan berjaya disiapkan mengikut masa yang ditetapkan.  

14 Disember 2010

Disember 14, 2010

Kanak-Kanak Ingin Jadi Artis Perlu Kelulusan KP Jabatan Tenaga Kerja

Berkaitan artikel yang ditulis diblog ini pada  29 November 2010 yang bertajuk Apabila Kanak-Kanak DiDewasakan Terlalu Awal. Nampaknya ada perkembangan positif  mengenainya seperti yang disiarkan di Berita Harian Online semalam.


Alhamdulillah, isu ini memang sudah berada dibawah radar Jabatan Tenaga Kerja melalui Rang Undang-Undang Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) (Pindaan) 2010  mensyaratkan supaya:

Kanak-kanak di bawah umur yang berhasrat menceburi bidang hiburan seperti menjadi pelakon, pemuzik atau penyanyi perlu mendapatkan kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja. Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, berkata mereka perlu mendapatkan kelulusan dan mematuhi peraturan yang terkandung dalam Rang Undang-Undang Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) (Pindaan) 2010 bagi mengelakkan mereka dieksploitasi sehingga mengganggu pelajaran.

Syabas diucapkan kepada pihak Jabatan Tenaga Kerja yang perihatin dengan nasib kanak-kanak serta secara tidak langsung melindungi hak dan kebajikan serta melindungi kehidupan kanak-kanak tersebut. Seterusnya mengelakkan diri mereka daripada dieksploitasi oleh pihak-pihak tertentu.

Berikut adalah artikel lengkap yang disiarkan di Berita Harian Online:

13 Disember 2010

Disember 13, 2010

Bazar JB - Ada Peniaga Menjual Arnab!

Sudah agak lama kami tidak ke Bazar JB. Nampaknya sudah banyak perubahan yang berlaku. Yang pastinya, bilangan peniaga sudah bertambah ramai dan semakim sukar mendapatkan tempat letak kereta.

Cuma yang tidak seronoknya identiti asal Bazar JB yang didominasi oleh peniaga barang-barang "vintage"  sudah semakin terhakis akibat limpahan peniaga yang berniaga barangan ciplak! Tentunya ini merupakan perkembangan yang tidak berapa sihat dan perlu ada kawalan oleh agensi yang berkaitan.


Bazar JB - Ada Peniaga Menjual Arnab!



Namun begitu, seakan ada tarikan baharu di Bazar JB kerana terdapat seorang peniaga yang menjual haiwan peliharaan.  Tentunya penjual ini berjaya menarik perhatian pengunjung terutamanya kanak-kanak untuk singgah sebentar bermesra dengan arnab-arnab yang dijual.


Bazar JB - Mahal Juga Arnab Ni.. Ingatkan Murah!

Akibat begitu asyik bermain dengan arnab-arnab ini, kedua-dua anak kami tidak mahu pulang ke rumah terutama Nurin Amani. Puas cuba memujuknya, tetapi dia tetap tidak sanggup meninggalkan arnab-arnab yang comel itu. 

Dalam pada cuba memujuk Nurin Amani, Azza terdengar seorang pengunjung bertanya kepada si penjual harga seekor arnab tersebut.. Kalau tidak silap pendengarannya, si penjual menyatakan harga seekor ialah RM180!!

Kalau sudah terpikat dengan kecomelan haiwan tersebut, RM180 tu apalah sangat...

09 Disember 2010

Disember 09, 2010

Menyempurnakan Azam Yang Masih Belum Terlaksana #2

Sudah menjadi lumrah apabila tiba Maal Hijrah dan Tahun Baru, pastinya Aku akan memperbaharui azam. Oleh kerana Aku hanya ada satu azam yang bersifat jangka panjang yang masih belum dapat disempurnakan, membuat azam baru seolah-olah akan menambahkan lagi beban pada diri.

Jadi, setiap kali tiba tarikh lahir, Maal Hijrah serta Tahun Baru Aku akan cuma memperbaharui (mengingatkan)  serta membuat sedikit analisis kemajuan tentang azam tersebut.



08 Disember 2010

Disember 08, 2010

See What People Will Do For Hublot

Walaupun Supremo F1 Bernie Ecclestone telah cedera dalam kejadian rompakan tempohari, beliau masih lagi cukup "sporting" menjayakan kempen iklan jam tangan Hublot. Untuk info, Hublot adalah "The Official Watch of Formula 1".




Antara barangan yang hilang dalam rompakan itu tentunya jam tangan Hublot miliknya.

Siapa sangka kecederaan tidak boleh dikomersilkan? Bernie Ecclestone dan Hublot telah menunjukkan jalan. Iklan tidak semestinya bersifat cantik dan yang tidak cantik itu pun ada nilai komersilnya!

"See What People Will Do For Hublot"



KNIGHTSBRIDGE – Bos perlumbaan kereta Formula Satu (F1), Bernie Ecclestone, 80, ditumbuk dan ditendang empat perompak sehingga dia terjatuh sebelum mereka melarikan barang kemas miliknya dan kekasihnya, Fabiana Flosi, 31 yang dianggarkan bernilai £200,000 (RM987,690), lapor sebuah akhbar semalam.

Kredit, ESPN F1, Kosmo.





07 Disember 2010

Disember 07, 2010

Tidak Cukup Nakal

Seorang kawan mengutarakan pendapat (teori)  ini, "Kalau seseorang itu terlalu baik perempuan susah nak sangkut!"  Tambahnya lagi.. "Sedikit gila-gila, nakal serta sikap mudah mesra penting untuk menarik perhatian perempuan!" 

Ini pula pendapat Aku.. "Kalau mahu menarik perhatian perempuan kena ada keyakinan diri!"

Kalau tidak mempunyai keyakinan diri yang tinggi apa yang dicita takkan tercapai. Kalau sudah berkeyakinan, buat apa pun Insyallah akan menjadi walaupun muka tidak berapa lawa.

06 Disember 2010

Disember 06, 2010

Skrip Kehidupan Yang Lebih Kurang Sama..

Beberapa bulan yang lepas, Aku berjumpa dengan seorang rakan di zaman persekolahan. Bila sudah berjumpa tentunya kami akan bercerita panjang berkenaan hidup dan perkembangan semasa. 

Memang banyak yang hendak dikongsi terutamanya cerita-cerita selepas tamat zaman persekolahan.  Sebaik sahaja menamatkan alam persekolahan kami telah memilih arah masing-masing dan sejak itu banyak perkara telah terlepas dari pengetahuan kami.

 Skrip Kehidupan Yang Lebih Kurang Sama..


Bila bercerita tentang anak-anak tentunya kami antara yang paling terasa kerana berkahwin agak lewat  berbanding rakan-rakan yang lain. Maklumlah kawan-kawan terutamanya yang wanita kebanyakkan anak-anak mereka telah pun berada di sekolah menengah!  Bagi yang lelaki cuma ada beberapa orang yang mempunyai anak yang sudah di sekolah menengah, itu pun sebab mereka tidak menyambung pelajaran. 

03 Disember 2010

Disember 03, 2010

Air Asia Dan Kawan-Kawan Sabah

Sebentar tadi Aku sempat menjenguk ke akuan ChurpChurp untuk memeriksa kempen pengiklanan terbaharu yang diberikan oleh pihak mereka. Bila terbaca promo terbaharu AirAsia X  mengenai New Zealand,

"Planning your holidays ahead? Starting from only RM199, AirAsiaX is now offering direct flights to Chirstchurch New Zealand! Hurry! Share this exciting adventure!"

Tiba-tiba teringat kenangan semasa di Universiti...

Maklumlah semasa belajar ada kawan-kawan yang berasal dari Sabah dan Sarawak. Bila berbual-bual sesama mereka tentunya akan terkeluar cerita balik kampung. Bagi mereka yang berasal dari Sabah dan Sarawak, tentunya cerita mengenai kampung akan membuat mereka sedikit sedih.

Rasanya pada zaman itu peluang untuk balik ke kampung hanya sekali sahaja setahun melalui tajaan. Kalau hendak balik sendiri tentunya keadaan kewangan tidak mengizinkan kerana syarikat penerbangan kadar murah masih belum wujud lagi.

Satu-satunya cara untuk mendapatkan tambang murah ialah melalui AYTB (Asean Youth Travel Bureau). Dengan adanya keahlian ini para pelajar dapat menikmati potongan sebanyak 50%  daripada kadar tambang penerbangan  biasa dengan syarat mereka dimasukkan didalam senarai menunggu.  

Susah bukan.. Untuk balik ke kampung kalau tambang mahal dan kadang-kadang terpaksa bermalam di lapangan terbang!


02 Disember 2010

Disember 02, 2010

iPad Untuk Yang Bertuah

Tidak dinafikan gadget iPad memang antara gadget yang paling panas sekarang ini. Ramai yang teringin memilikinya tetapi disebabkan kekangan kewangan, hasrat tersebut terpaksa dipendam.


Tetapi tidak perlu risau kerana banyak syarikat perniagaan serta institusi yang menawarkan  peluang untuk memiliki gadget tersebut melalui pertandingan (contest) yang dianjurkan.

Berikut adalah antara syarikat perniagaan serta institusi  yang menawarkan iPad sebagai hadiah yang dapat dikesan setakat ini :




01 Disember 2010

Disember 01, 2010

iPad Sudah Boleh Didapati Secara Rasminya Di Malaysia

Mulai hari ini iPad secara rasminya sudah boleh dibeli oleh pengguna di Malaysia. Bagi yang berada di luar Kuala Lumpur atau yang tidak suka bersesak-sesak mendaptkanya di MidValley, bolehlah menggunakan perkhidmatan belian secara dalam talian di halaman web Apple Store Malaysia.



Berikut adalah variasi model yang ditawarkan oleh Apple Store Malaysia. Terdapat 2 variasi model iaitu iPad beserta  WiFi  dan iPad berserta WiFi + 3G.  Kesemuanya varian mempunyai 3 saiz kapasiti iaitu 16GB, 32GB  dan 64GB