BEAM

Bila Encik Anif Menulis (BEAM)

Trending

24 April 2011

Masa Untuk Berjalan-Jalan Makan Angin - Phuket #2

Ini adalah Koleksi Catatan Perjalanan Masa Untuk Berjalan-Jalan Makan Angin - Phuket #2

Phuket - Hari Kedua

Hari ini memang tiada aktiviti rasmi. Jadi kami dibenarkan untuk melakukan aktiviti sendiri.

Bersarapan seawal jam 6:30 pagi. Selepas itu mengambil keputusan untuk berjalan-jalan di Patong Beach.  Maklumlah sejak semalam masih belum menjejakkan kaki ke kawasan pantai.

Tidak sah jika pergi ke Pulau Phuket tetapi tidak singgah ke kawasan pantai!  Macam tidak lengkap acara jika tidak melihatnya dengan lebih dekat. Lagipun jika ke pantai pada awal pagi tentunya lebih selesa berbanding apabila matahari telah berada betul-betul di atas kepala.

Jarak antara hotel penginapan dengan kawasan pantai adalah lebih kurang 300 meter. Ada laluan khas disediakan untuk menuju ke pantai dari hotel.





Oleh kerana masih awal pagi lagi memang tidak ramai orang yang berada di kawasan pantai. Para pengusaha yang menyewakan Jetski serta kerusi malas pun baru hendak memulakan operasi serta sedang membuat persiapan  untuk menyambut para pelancong yang bakal memenuhi kawasan pantai apabila menjelang tengahari nanti.




Apa yang menarik terutamanya di awal pagi ialah terdapat banyak burung merpati mencari makan di kawasan pantai.





Di Pulau Phuket, kawasan Patong Beach ini adalah kawasan yang terjejas teruk sewaktu berlakunya bencana Tsunami pada tahun 2004. Sekarang semuanya sudah kembali seperti biasa. Namun sebagai langkah keselamatan dan berjaga-jaga pihak berkuasa tempatan telah menyediakan "Tsunami Evacuation Center" di Patong Beach.  Jadi papan tanda seperti ini memberitahu tempat perlindungan yang ada di sekitar kawasan pantai.





Sekitar pukul 10:00 pagi kembali semula ke hotel penginapan untuk berehat dan sertelah berbincang dengan beberapa orang  rakan, akhirnya kami sepakat untuk ke kawasan Muslim yang ada di Patong Beach pada waktu makan tengahari nanti. 


Tentunya kawasan yang dituju ialah di seitar Masjid Nurul Islam. Berdekatan dengan kawasan masjid  tersebut terdapat beberapa buah restoran yang menyediakan makanan halal.  Kami makan tengahari di Restoran Gaddafi  yang menyedaiakan makanan  Thai, Arab dan Barat.





Menu yang dipilih tentunya makanan asli Thai (Phuket).  Entah apa hidangan yang dihidangkan kepada kami, yang pastinya ia sungguh lazat dan memang berbeza dengan masakan Thai yang selalu di makan di negara kita.

Menu yang mengandungi tomyam udang, ikan masak 3 rasa stail Phuket, daging cincang pedas, udang goreng mentega dan kailan ikan masin. Untuk semua hidangan itu kami di kenakan sebanyak 1200 Bhat, hidangan makan untuk 4 orang atau bersamaan dengan RM120.  Mahal?  Sudah tentu!  Tetapi apa lagi yang kita jangkakan apabila berada di kawasan perlancongan. 

Alhamdulilah mungkin sudah rezeki agaknya, makan tengah hari itu ditaja sepenuhnya oleh Haji Azman. Terima kasih Haji.. Lain kali belanja lagi ye.. hehe..

Selesai makan tengahari kami singgah sebentar di Masjid Nurul Islam yang terletak berhadapan dengan Restoran Gaddafi untuk menunaikan solat dan melawat satu-satunya masjid yang berada di Patong Beach.





Masjid ini masih lagi dalam pembinaan namun begitu ruang solat telah siap sepenuhnya, hanya bahagian luarnya sahaja yang sedang dibina.  Kerja-kerja membina masjid ini 100 peratus dibaiyai melalui wang derma. Diperkarangan masjid ini juga terdapat sekolah agama.

Di sebelah malam pula kami ke "Jatujak Market" atau kalau ditempat kita lebih kurang macam pasar malam. "Jatujak Market" merupakan pasar malam yang terbesar di Pulau Phuket  yang diadakan pada setiap Sabtu dan Ahad. Barangan yang dijual adalah lebih murah berbanding di Patong Beach.  

Pasar malam ini memang cukup luas sehinggakan masa 3 jam yang diperuntukan untuk menjelajah tempat tersebut seakan tidak mencukupi.






Tentunya ini adalah tempat yang wajib dikunjungi sekiranya tiba di Phuket pada hujung minggu.  Tempat yang sesuai untuk mencari pelabagai barangan cenderamata. 

Lokasinya sebenar pasar malam ini adalah di Phang-Nga Road, Phuket Town dan kami diturunkan dihadapan kafe "Coffee Bikers"  yang mana ia juga menjadi tempat berkumpul sebaik sahaja selesai membeli belah di "Jatujak Market".





Memang susah untuk membeli belah di Phuket kerana masalah bahasa tetapi ada satu bahasa universal yang sesuai digunakan iaitu "Bahasa Kalkulator".  Ternyata bahasa ini amat membantu dalam menyelesaikan pertikaian harga serta mendapatkan persetujuan antara penjual dan pembeli :)

Selesai membeli belah kami pulang semula ke hotel. Memang badan perlukan rehat secukupnya setelah seharian berjalan-jalan.  Perlu menyediakan tenaga untuk mengharungi Aktiviti hari 3 yang tentunya lebih mencabar..

Namun begitu bagi yang merasakan malam masih muda, Bangla Road sedia menanti kunjungan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan