Cerita Tentang [
Thailand
]

Masa Untuk Berjalan-Jalan Makan Angin - Phuket #3

Ini adalah Koleksi Catatan Perjalanan Masa Untuk Berjalan-Jalan Makan Angin - Phuket #3

Phuket - Hari Ketiga


Kami dinasihatkan supaya bersiap awal memandangkan aktiviti hari ketiga ini  memerlukan kami meninggalkan hotel tepat jam 8:00 pagi.

Sesiapa yang terlambat dianggap tidak berminat untuk menyertai aktiviti tersebut dan akan ditinggalkan. 

Nampaknya aktiviti hari ini memerlukan kami pergi jauh ke utara Pulau Phuket dan merentasi jambatan untuk ke tanah besar.Perjalanan ini memakan masa hampir sejam. Setibanya di Jeti, kami diberikan arahan untuk memakai jaket keselamatan dan menaiki bot yang sudah sedia menunggu.



Sebenarnya hari ini, destinasi yang dituju ialah perairan Phang Nga Bay dan melawat di persekitaran perairan tersebut. Antara tarikan utama di Phang Nga Bay ialah  Ko Tapu atau lebih dikenali sebagai James Bond Island.







Sebelum sampai di Ko Tapu, bot telah berhenti di Mutera Sea Canoe.  Di sini pengunjung dapat berehat dan melegakan badan setelah setengah jam menaiki bot.




Di Mutera Sea Canoe, pelancong diberi peluang untuk merasai pengalaman menaiki kenu di laut dengan bayaran sekitar 300 Bhat untuk seorang. Setiap kenu boleh memuatkan 2 penumpang.




Setelah selesai aktiviti berkenu, kami meneruskan perjalanan ke Ko Tapu atau James Bond Island.  Pulau itu menjadi popular kerana telah dijadikan lokasi pengambaran filem James Bond - "The Man With The Golden Gun" pada tahun 1974. Filem tersebut dibintangi oleh Roger Moore dan diarahkan oleh Guy Hamilton.  Sejak itu Ko Tapu lebih dikenali sebagai James Bond Island.





Sewaktu kami tiba, pulau ini sesak dengan pengunjung. Memang tidak dapat dinafikan bahawa pulau ini ada daya tarikan yang tersendiri.  Mungkin kerana keunikan rupa bentuknya serta kemahsyurannya menyebabkan ia menjadi destinasi tumpuan.




Memang banyak kedai menjual cenderamata di sini tetapi harganya sudah berlipat kali ganda. Maklumlah tempat tumpuan pelancong dan ditengah-tengah lautan pula. Kalau pun skil tawar menawar anda pada peringkat tertinggi pun, masih tidak pasti sama ada akan mendapat harga yang terbaik di sini.






Kami meninggalkan Koh Tapu sekitar jam 2:00 petang. Seterusnya kami dibawa ke perkampungan air yang dikenali sebagai Koh Panyee untuk berehat dan makan tengahari. Kami makan tengahari di Sunny Seafood




Bila sudah lapar memang tidak perlu menunggu lama untuk menyelesaikan segala yang terhidang diatas meja! 

Sebaik sahaja selesai makan tengahari, kami berpeluang meninjau kehidupan dan persekitaran di perkampungan air tersebut. Memang kagum dengan semangat mereka dalam meneruskan kehidupan. Walaupun tinggal di atas air, mereka tidak sedikit pun tercicir daripada arus kemodenan. 





Diberitahu bahawa terdapat seramai 200 buah keluarga menghuni perkampungan ini.  Perkampungan ini asalnya dibuka pada akhir kurun ke 18 oleh nelayan Melayu Islam. Dikalangan orang Melayu, kawasan ini dikenali sebagai Pulau Panji.





Walaupun dibina di atas air, perkampungan ini lengkap dengan semua kemudahan asas serta mempunyai sekolah, dewan orang ramai, gelanggang sepak takraw,  padang bola sepak serta masjid.




Kami meninggalakan perkampungan unik ini sekitar jam 3:30 petang untuk menuju ke tanah besar dan kembali semula ke Pulau Phuket. 

Berada di perkampungan tersebut merupakan pengalaman yang amat berharga lebih-lebih lagi apabila sejarahnya menyatakan ianya di buka oleh nelayan Melayu dan seterusnya telah membuktikan bahawa bangsa ini adalah pelaut yang hebat.

Sekembalinya ke hotel penginapan, kami diberitahu bahawa di sebelah malamnya kami akan dibawa untuk makan malam di  The Royal Paradise Hotel.  Untuk itu kami dikehendaki bersedia  meninggalkan hotel pada jam 9:00 malam.  Sementara menunggu untuk makan malam dapatlah merehatkan badan untuk menghilangkan keletihan menaiki bot sepanjang hari.

Tepat jam 9:00 malam kami dibawa ke The Royal Paradise Hotel.  Alhamdulillah, makan malam kami adalah di hotel yang menyajikan makanan halal.



 


Selesai makan malam, ada diantara kami yang mengambil kesempatan untuk menyambung kembali aktiviti membeli belah dan menghayati kehidupan malam di sekitar Patong Beach.  

Bagi yang keletihan tentunya mengambil peluang ini untuk kembali semula ke hotel penginapan untuk berehat secukupnya kerana esok kami merancang sesuatu yang lebih menarik dan mencabar.
 

:) :( ;) :D :-/ :x :P :-* =(( :-O X( :7 B-) #:-S :(( :)) =)) :-B :-c :)] ~X( :-h I-) =D7 @-) :-w 7:P 2):) :!! \m/ :-q :-bd ^#(^

Post a Comment