Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam Hari Malaysia. Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian.
1. Alhamdulillah
dengan limpah izin dan kurnia-Nya jua, kita dapat menyambut ulangtahun
penubuhan Malaysia bagi kali ke-48 sebagai warga sebuah negara yang
merdeka, berdaulat, demokratik, aman dan makmur.
2. Sesungguhnya
kisah perjalanan Malaysia penuh warna-warni. Bermula daripada sebuah
negara pertanian berpendapatan rendah semasa penubuhannya, hari ini,
hasil mahsul perancangan penuh sistematik dan pelaksanaan begitu mampan,
kita telah berjaya muncul sebagai negara perindustrian moden yang
berpendapatan sederhana tinggi. Bertolak dari situ, sekalipun kejayaan
yang telah dicapai bersifat monumental dan amat signifikan, ia bukanlah
alasan yang membenarkan kita untuk berhenti berusaha, berasa puas hati,
berasa selesa, apatah lagi mengambil sikap bersimpuh sambil berpeluk
tubuh.
3. Apa yang sewajarnya dilakukan demi survival serta
kesejahteraan rakyat terus meningkat lagi terjamin dalam dunia yang amat
kompetitif dewasa ini, marilah melipatgandakan usaha bagi menambahbaik
daya saing nasional melalui penggunaaan kreativiti, inovasi dan menjulat
usaha penciptaan kekayaan baru berasaskan sifat keusahawanan mandiri.
Semua matlamat ini tidak mungkin akan tercapai tanpa wujudnya perpaduan
nasional, keamanan, kestabilan dan keharmonian.
Rakyat Malaysia
yang dikasihi sekalian,
4. Membelek helaian-helaian tawarikh, apabila
negara mencapai kemerdekaan 54 tahun lalu sehingga Malaysia dibentuk
enam tahun kemudiannya, bersama-sama Sabah dan Sarawak, banyak pihak
ketika itu, sama ada pemerhati asing, mahupun warga tempatan berasa
ragu-ragu serta waham mempersoalkan tentang, sebuah negara baru yang
negeri-negerinya terpisah dek Laut Cina Selatan, sedang diancam pula
pemberontakan komunis, dengan separuh penduduknya hidup di bawah paras
kemiskinan, ditambah oleh faktor kemajmukan demografik yang luar biasa
kompleksitinya, mungkinkah mampu untuk kekal utuh sebagai sebuah negara
bangsa apatah lagi untuk berjaya?
5. Ternyata, pencapaian Malaysia
selama ini, bertatih dan berjalan jatuh untuk mengecap nikmat kejayaan
diiringi sebuah takdir yang penuh cabaran. Jika disisir sejarahnya,
semacam satu keajaiban diawal usia setahun jagung meraih kemerdekaan,
hakikat yang tersebut tadi ditambah berat pula dengan penerimaan sistem
dan falsafah pentadbiran negara berasaskan Demokrasi Berparlimen, Raja
Berperlembagaan serta Persekutuan, telah diterima amal secara tuntas
oleh kita begitu awal ketika mana proses pembudayaan masih lagi tidak
matang.
6. Jelas sekali, sebelum merdeka, warga tiga belas buah
negeri yang bersatu membentuk Malaysia tidak pernah berpeluang untuk
memilih kerajaan yang akan memerintah sekalipun corak pentadbirannya.
Kewujudan mereka hanyalah sebagai rakyat negeri-negeri naungan atau
tanah jajahan yang diberi keistimewaan politik terhad mengikut budi
bicara kuasa pemerintah. Pastinya, ini, bukanlah hak politik tulen yang
terbit daripada kewarganegaraan sebuah negara merdeka serta berdaulat.
7. Menyingkap
fakta, sebelum merdeka, pemilihan politik pertama yang berlangsung di
mana rakyat telah diberi peluang secara terhad untuk memilih wakil
mereka adalah semasa pemilihan beberapa Majlis Perbandaran pada tahun
1952 dan seterusnya pemilihan sebahagian Anggota Majlis Perundangan
Persekutuan pada tahun 1955. Sebaliknya, hanya tahun-tahun selepas
merdeka bermula 1959, rakyat mula diberi hak dan tanggungjawab
sepenuhnya untuk memilih semua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan
Negeri sebagai hak budi bicara mutlak dalam menentukan parti manakah
bagi membentuk kerajaan.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
8. Sememangnya kita perlu bersyukur kerana dari masa hingga masa, walau
apapun rintangan menjelma, sama ada bersifat dalaman mahupun luaran yang
telah mengancam demokrasi dan kebebasan individu seperti pemberontakan
komunis, konfrontasi menentang penubuhan Malaysia, rusuhan kaum,
kemelesetan ekonomi, ekstrimisme agama mahupun cauvinisme perkauman,
Alhamdulillah, setiap satunya telah berjaya ditangani dan dihadapi
menggunakan kerangka tindakan berhemah, demokratik berasaskan prinsip
keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.
9. Barang
harus diingat jua, sepanjang tempoh tersebut tidak pernah terlintas di
benak pihak kerajaan walau sedetikpun untuk menukar sistem Demokrasi
Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sedia ada dengan sebarang sistem
anti-demokratik, waima betapa getir cabaran yang dihadapi. Seperti
terakam pada susur galur negara, disebabkan tragedi 13 Mei, Seri Paduka
Baginda Yang DiPertuan Agong bertindak atas nasihat YAB Perdana Menteri ketika itu menurut peruntukan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, telah mengisytiharkan darurat.
10. Salah satu kesan pengisytiharan darurat 1969 tersebut adalah proses
pilihanraya yang belum selesai di Sabah dan Sarawak telah digantung.
Peristiwa selanjutnya yang berlaku adalah pemilihan Dewan Rakyat telah
disempurnakan dalam tempoh lebih kurang dua puluh bulan kemudian dan
sistem Demokrasi Berparlimen dipulih kembali apabila keamanan negara
telah stabil seperti sediakala.
11. Kendatipun begitu, Allahyarham Tun Abdul Razak
selaku Timbalan Perdana Menteri pada masa tersebut merangkap Menteri
Pertahanan yang telah diamanahkan mengetuai Majlis Gerakan Negara atau
MAGERAN, dengan memiliki kuasa mutlak eksekutif dan perundangan, tidak
pernah menyimpan hasrat untuk mengekalkan kuasa-kuasa tersebut lebih
lama daripada apa yang perlu.
12. Sudah terang lagi bersuluh,
Allahyarham Tun bersama rakan-rakan ketika itu amat menyedari bahawa
kuasa luar biasa tanpa sempadan yang tergenggam di tangan mereka
tersebut tidak boleh sekali-kali dijadikan suatu kelaziman demi masa
depan negara tercinta. Sebaliknya, mereka faham kuasa total itu sekadar
suatu amanah untuk mengekang dan mengawal tragedi serta kegoncangan yang
berlaku.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
13. Sebetulnya
lagi, sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen, kuasa untuk
menentukan parti politik mana yang akan membentuk kerajaan sama ada di
peringkat Persekutuan mahupun di peringkat negeri terletak secara mutlak
tanpa kekecualian di tangan rakyat. Setelah lebih lima dekad
kemerdekaan negara dan hampir lima dasawarsa pembentukan Malaysia, kita
dapati bahawa, pengalaman, kematangan serta kebijaksanaan rakyat negara
ini dalam memilih kerajaan demi menentukan halatuju masa depan yang
mereka dambakan tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun jua.
14. Bahkan,
saya sering mengutarakan bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya
dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah melewati tempohnya.
Revolusi dalam bidang teknologi maklumat, kemajuan komunikasi dan
kecanggihan pengangkutan telah membuka persaingan serta perbandingan
secara meluas lagi dinamik dalam pasaran idea.
15. Kontemporari
ini, taraf serta akses rakyat kepada semua peringkat pendidikan semakin
meluas seiring dengan korpus pengetahuan yang dimiliki. Disamping itu,
pertumbuhan ekonomi yang mapan, pengurangan kadar kemiskinan dan
inisiatif kejuruteraan sosial serta keberkesanannya, telah berjaya
meningkatkan taraf hidup serta mewujudkan kelas menengah yang besar.
Mutakhir pula, keutamaan kehendak dan keperluan rakyat Malaysia telah
mengalami perubahan yang besar berbanding empat atau lima dekad yang
lalu.
16. Melangkah lebih jauh, mentadbir negara yang terzahir
dari saat kemerdekaan dikudratkan oleh kehendak rakyat, kerajaan kini
akan terus komited menjunjung sistem Demokrasi Berparlimen, Raja
Berperlembagaan, kedaulatan undang-undang, falsafah persekutuan serta
prinsip imbang dan periksa di antara ketiga-tiga cabang kerajaan.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
17. Sebagai yang ramai maklum
bahawa, kecuali darurat akibat konfrontasi tahun 1964, yang telah
dibatalkan secara tersirat, kesemua proklamasi darurat lain yang telah
diisytiharkan sebelum ini, masih dianggap berkuatkuasa sehingga hari
ini. Justeru, menginsafi bahawa realiti negara Malaysia telah berubah,
merasai denyut nadi, resah gelisah dan aspirasi rakyat yang mahukan
Malaysia menjadi lebih terbuka lagi dinamik demokrasinya, di mana,
pendapat, idea dan kebimbangan massa lebih diberi perhatian, agar
dapatlah kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan sistem
demokrasi lain di dunia yang berasaskan falsafah universal dari rakyat,
oleh rakyat dan untuk rakyat, maka, kerajaan kini, di bawah Fasal 3
Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, akan membentangkan kepada
kedua-dua Majlis Parlimen dengan usul agar ketiga-tiga proklamasi
darurat yang telah diisytihar dulu, supaya ditamatkan kuatkuasanya. Pada
hemahnya, sudah tiba waktu rakyat Malaysia menuju masa depan dengan
paradigma seterusnya yang berasaskan harapan baru dan bukannya
terbelenggu oleh nostalgia kekangan sejarah lampau.
Rakyat
Malaysia yang dikasihi sekalian,
18. Dalam menyusun atur peradaban
bernegara bagi menghadapi keadaan luarbiasa yang mengancam keselamatan
tanahair dan kesejahteraan rakyat, tidak dapat tidak, menuntut kepada
langkah-langkah khas yang kadangkala, bersifat di luar norma demokratik.
Umpamanya, tindakan tahanan pencegahan. Sesungguhnya, kebijaksanaan
menangani keganasan memerlukan kita mencegah perlakuan itu, sebelum
kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa, harta benda atau
menatijahkan apa-apa kecederaan. Ini merupakan satu kebenaran yang
bersifat global dan diterima ramai.
19. Dari perspektif
undang-undang Islam pula, ia terangkum jelas dalam Maqasid Syariah yang
berobjektif melindungi lima perkara utama yakni; pertama: agama, kedua:
nyawa, ketiga: akal, keempat: keturunan dan maruah serta kelima: harta
benda. Bahkan prinsip Usul Fiqah banyak membicarakan tentang perlunya
disekat lebih awal sesuatu kemungkaran itu, sebelum ia berlaku. Manakala
satu prinsip menyatakan bahawa, keputusan pemerintah adalah satu amanah
yang perlu dibuat bagi pihak yang diperintah atas kepentingan maslahah
ramai.
20. Ini bukanlah ehwal yang pelik, tidak lazim atau asing.
Terbukti, negara-negara demokrasi yang maju seperti Amerika Syarikat
dan United Kingdom juga telah menggubal rangka perundangan khas bagi
menangani ancaman pengganas pasca tragedi 11 September.
21. Pucuk
pangkalnya, perseimbangan serta perimbangan yang harus ada bagi sebuah
demokrasi moden adalah, diantara keselamatan nasional dan kebebasan
individu. Itulah tugas dan tanggungjawab sebuah kerajaan yang matlamat
tertingginya, menjunjung kebajikan serta kesejahteraan rakyat untuk
mencari keseimbangan yang betul ini.
22. Misalnya, kebebasan
bersuara yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan tidak sesekali
bermaksud sebagai kewenangan hak kepada mana-mana pihak untuk membuat
fitnah dan menghasut api kebencian. Sebagai contoh mudah yang lain,
kerajaan turut bertanggungjawab untuk menghalang jeritan palsu tentang
bom dalam sebuah stadium yang penuh sesak. Ini kerana, kebebasan luar
kawal sebegitu, akan hanya menimbulkan panik yang boleh membawa kepada
kecederaan dan kehilangan nyawa.
Rakyat Malaysia yang dikasihi
sekalian,
23. Sepertimana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya
semasa mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April
2009, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dikaji
secara komprehensif. Sehubungan dengan itu, suka saya mengumumkan pada
malam yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960
(yakni ISA) akan dimansuhkan terus.
24. Untuk mencegah perbuatan
subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara
ketenteraman dan keselamatan awam, dua undang-undang baru yang sesuai
akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan
Persekutuan. Pokoknya, akta-akta ini nanti bermatlamat untuk memelihara
keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan
negara.
25. Di atas segalanya, Kerajaan akan tetap memastikan hak
asasi mereka yang terbabit terpelihara. Apa-apa undang-undang yang
diperbuat akan mengambil kira hak dan kebebasan asasi berlandaskan
Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang baru ini akan memperuntukkan
tempoh tahanan oleh polis yang secara substansialnya lebih pendek
daripada apa yang ada sekarang dan apa-apa tahanan lanjut hanya boleh
dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan
keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa Menteri.
26. Di sudut
lain, kerajaan juga memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak
akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik. Umumnya pula,
kuasa untuk melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan eksekutif
kepada badan kehakiman kecualilah undang-undang berkaitan keganasan itu
tadi.
27. Dalam konteks ini juga, selain memansuhkan Akta
Keselamatan Dalam Negeri 1960, Kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang
Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi
memastikan ia memenuhi kehendak semasa. Sehubungan dengan itu lagi,
kita tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan
undang-undang yang tidak lagi relevan.
28. Kajian semula
komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta
Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan
dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.
Kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan
mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang
kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya
demonstrasi jalanan. Namun, kebenaran berhimpun diberi selaras dengan
kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak disamping mengambilkira
norma-norma di peringkat antarabangsa.
Rakyat Malaysia yang
dikasihi sekalian,
29. Sebagai sebuah negara, Malaysia dan seluruh
warganya kini berada di persimpangan jalan. Pilihan yang kita putuskan
hari ini akan menentukan nasib serta mencorakkan rupabentuk Malaysia
pada masa hadapan, tanah air yang akan kita wariskan kepada anak-anak
kita dan generasi mendatang. Persoalannya, mampukah kita melampaui dan
mencabar wasangka lazim bahawa rakyat Malaysia daripada latarbelakang
yang majmuk, status sosioekonomi berbeza dan fahaman politik pelbagai,
secara iradat manusiawinya, tiba kepada konsensus untuk tidak tunduk
menyerah kepada sekam kebencian dan kecurigaan yang pastinya mengheret
kita ke lembah kehinaan. Sebaliknya, ayuhlah kita bersama mendaya sebuah
masa depan yang sarat dengan harapan dan kemuliaan.
30. Yakinlah
bahawa, ia satu kekuatan bukan satu kelemahan untuk kita meletakkan
kepercayaan kepada kebijaksanaan rakyat Malaysia membuat pilihan dalam
mencorakkan hala tuju masa depan mereka sendiri. Jika kita menganggap ia
satu kesilapan maka, apakah maknanya pencapaian kita hari ini, apakah
gunanya kita merancang pembangunan negara degan begitu tersusun semenjak
merdeka, apakah gunanya kita membelanjakan sebahagian besar khazanah
negara setiap tahun untuk memberikan akses pendidikan berkualiti kepada
semua rakyat, membebaskan warga daripada cengkaman kemiskinan, membina
infrastruktur fizikal serta teknologi komunikasi maklumat yang berkelas
dunia?
31. Jawapannya sangat jelas yakni, langkah-langkah yang
saya umumkan sebentar tadi tidak lain tidak bukan adalah inisiatif awal
transformasi politik secara tertib lagi berhemah. Ia berdiri sebagai
pelengkap amat penting serta perlu kepada insiatif-inisiatif
transformasi bidang ekonomi dan penyampaian awam yang pihak kerajaan
telah rangka dan laksanakan semenjak lebih dua tahun kebelakangan dalam
usaha menuju sebuah negara moden dan progresif.
32. Pastinya,
masa bukan terlalu awal mahupun terlalu lewat, akan tetapi inilah kala
paling sesuai serta waktu paling tepat untuk perhitungan-perhitungan
besar sedemikian diambil dan dilancarkan. Kita maklum, walaupun bagi
pendapat sesetengah pihak ia penuh berisiko, kita akan melakukannya demi
survival, setelah lebih lima puluh tahun negara merdeka, dan hampir
lima dekad Malaysia terbentuk. Lantaran kita di ambang pedati yang
sedang berpacu deras untuk sampai ke destinasi sebagai sebuah negara
maju sepenuhnya.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
33. Akhir
kalam, saya ingin tegaskan bahawa tanpa syak dan tanpa ragu-ragu lagi,
Malaysia yang kita impikan bersama dan sedang kita cipta ini adalah
Malaysia yang mengamalkan demokrasi berfungsi dan inklusif di mana
keamanan dan ketenteraman awam dipelihara selaras dengan roh
ketertinggian Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, penghormatan
kepada hak asasi manusia dan hak-hak individu.
Demi Malaysia, bertawakallah semua dan kepada Tuhan kita berserah.
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan