BEAM

Bila Encik Anif Menulis (BEAM)

Trending

31 Mac 2011

Mac 31, 2011

Buffalo TeraStation III TS-RXL/R5 Series

Sejak 2 hari yang lepas banyak masa telah dihabiskan dengan menguji peralatan yang baru diterima daripada pihak vendor.  

Memang seronok bila menerima sesuatu yang baharu terutama NAS (Network Attached Storage) yang pertama kali akan digunakan di tempat kerja bagi mengantikan beberapa File Server yang sudah agak berusia dan berkapasiti terhad.

Sebaik sahaja peralatan itu tiba di pejabat, terus sahaja mengeluarkannya daripada kotak dan memulakan proses mengkonfigurasi. 

Dimulakan dengan membaca manual dan mengikuti setiap langkah dengan berhati-hati. Maklumlah benda baru, lagipun sebelum ini memang tidak pernah mengkonfigurasi NAS.  

Banyak masa dihabiskan untuk mencuba beberapa jenis konfigurasi untuk mendapatkan prestasi terbaik serta disesuaikan dengan konfigurasi rangkaian tempatan yang sedia ada.  




NAS yang baru dibeli ini adalah daripada jenama Buffalo TeraStation III  TS-RXL/R5 Series berkapasiti 4 TB (TeraBytes).  Proses mengkonfigurasi NAS ini agak mudah kerana semuanya dapat dilakukan dengan menggunakan pelayar internet.


29 Mac 2011

Mac 29, 2011

Realiti Kehidupan #1 - Tidak Semua Yang Dihajati Akan Dipenuhi!

Memang naluri setiap ibu bapa sentiasa mahukan anak-anaknya gembira dan kalau boleh memenuhi impian serta kehendak mereka.

Namun begitu, sesekali kita perlu bertegas dengan anak-anak untuk mengatakan "tidak" terhadap keinginan mereka.

 Jika semua impian dan kehendak mereka sentiasa dipenuhi itu bukanlah realiti sebenar kehidupan. Sekali sekala perlu katakan "tidak" kepada mereka. 

Tidak memenuhi kehendak anak-anak tidak akan menjadikan ibu bapa kejam sebaliknya ia merupakan proses pembelajaran buat mereka dalam mengenal realiti kehidupan. 

28 Mac 2011

Mac 28, 2011

Program Transformasi Kerajaan (GTP) - Laporan Tahunan 2010

Pada 27 Mac 2011, Perdana Menteri Malaysia Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak telah melancarkan Laporan Tahunan GTP di Stadium Bukit Jalil.

Laporan tahunan ini merujuk kepada kemajuan yang dicapai sepanjang tahun 2010 dibawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) serta merujuk secara langsung kepada 6 komponen utama yang terdapat didalamnya.




24 Mac 2011

Mac 24, 2011

Selamat Menyambut Hari Lahir


Semalam kami ke Vivo American Pizza & Panini. Kami ke restoran tersebut kerana meraikan hari ulang tahun Azza. 

Seperti tahun-tahun yang sebelumnya, kami menyambutnya di restoran yang menyajikan pizza. Cuma kali ini lokasi dan restorannya sudah berubah. Kalau dahulu kami suka ke Pizza Hut di Plaza Angsana, kini kami mencuba Vivo American Pizza & Panini di Sutera Mall.  

Restoran tersebut dipilih berikutan lokasinya yang berhampiran dengan kediaman. Jadi ia lebih  mudah untuk dikunjungi.  Lagipun semalam, pulang agak lewat dari pejabat, jadi tidak larat rasanya hendak pergi ke tempat yang agak jauh.  Lebih-lebih lagi esoknya merupakan hari kerja dan persekolahan.


 
Memandangkan sekarang Nurin Iman sudah pun bersekolah terpaksalah menunggu dia menyiapkan kerja sekolahnya sebelum dapat keluar dari rumah.   

Kami tiba di Vivo American Pizza & Panini di Sutera Mall lebih kurang jam 8:30 malam.  Disebabkan hari tersebut bukanlah hujung minggu memang tidak ramai pengunjung di pusat membeli belah tersebut serta di dalam restoran.


23 Mac 2011

22 Mac 2011

Mac 22, 2011

Tips Hebat Untuk Memujuk Anak Makan

Sebaik sahaja pulang dari kerja semalam Azza memberitahu yang Nurin Amani tidak mahu makan sejak tengahari. Si Adik ini sebenarnya baharu sahaja pulih dari demam beberapa hari yang lepas tetapi sebaik sahaja pulih dia diserang batuk pula. 

Sehingga hari ini dia masih lagi beri makan ubat batuk. Mungkin disebabkan ubat tersebut dan rasa tidak selesa ditekak membuatkannya tidak mahu makan. 

Bila ada masalah seperti ini, hanya ada satu cara untuk memujuknya supaya makan. Terpaksalah guna taktik atau tips hebat untuk memujuk anak makan iaitu mengajaknya ke restoran makanan segera berhampiran kediaman.


Mac 22, 2011

Najwa Mahiaddin - Got To Go

Najwa Mahiaddin, nama yang agak asing dalam dunia seni suara tanah air tetapi sejak kebelakangan ini namanya mula menjadi sebutan. Penyanyi yang mempunyai kekuatan vokal tersendiri ini serasi membawakan muzik yang beraliran neo-soul.  

Album beliau yang berjudul Innocent Soul mengandungi 10 buah lagu dan merupakan koleksi yang ditulis sejak beliau berusia 16 tahun. Antara lagu-lagu yang dimuatkan dalam album tersebut ialah Got To go, Innocent Soul, I've Got The..., Monday Blues, Sweet October, Go 'head, How Long Must i Wait, Jealousy, Ain't That A Shame dan Your Love

Faiz Naquiddin @ www.shutterpix.net / The Media Hustler ©2010 . All rights reserved.

Album Innocent Soul diterbitkan oleh Nada Biru Muzik Sdn Bhd dan diedarkan oleh Warner Music Malaysia.


21 Mac 2011

Mac 21, 2011

Fenomena Supernut!

Antara snek yang kami sekeluarga suka makan ialah kacang menglembu. Snek yang sihat  ini  mengandungi  protein dan tanpa kolesterol sesuai untuk seisi keluarga. Selalunya kami beli dari jenama Ngan Yin dan Pagoda.  

Beberapa hari yang lepas kami membeli kacang menglembu dari jenama Supernut di 7 Eleven. Pada mulanya menyangka ia adalah kacang menglembu biasa, rupa-rupanya yang ini ada kelainannya dari segi penyediaannya.

Kelainan yang dimaksudkan ialah ia berperisa bawang putih. Patutlah ada rasa yang pelik ketika menikmatinya.  Kemudian baru memeriksa pembungkusnya dan tertulis "The Natural Garlic Flavour". Rasa pelik itu rupa-rupanya datang dari bawang putih. Kombinasi yang sedikit pelik  tetapi sempurna untuk rasa sensasi.


Supernut - Natural Garlic Flavour
Supernut - Natural Garlic Flavour


Bila sudah "terkena" tentunya kami mahukannya lagi.  Mulalah merancang untuk mencarinya pada hujung minggu nanti ketika berbelanja untuk barangan dapur di Tesco. Maklumlah kami menyangka harga di 7 Eleven tentunya mahal sedikit berbanding pasar raya besar.

Ketika di Tesco sebaik sahaja selesai melengkapkan barangan keperluan dapur, kami ambil sedikit masa untuk singgah di bahagian makanan ringan untuk mencari Supernut. Terkejut apabila melihat harganya sebungkus di Tesco RM2.75 manakala di 7 Eleven ia cuma beharga RM2.50!  Selalunya harga barangan di 7 Eleven adalah lebih mahal daripada di pasar raya besar.  Keadaan bebeza buat Supernut!  Terbalik pula. 





Apa pun sejak beberapa hari yang lepas sudah 2 bungkus Supernut yang telah kami cuba.  Kami sekeluarga sukakan rasanya. 

Produk ini adalah keluaran PT Dua Kelinci Indonesia tetapi di negara ini hanya 2 jenis  perisa yang dibawa masuk iaitu kacang  mengelembu biasa dan kacang menglembu berperisa bawang putih. 

Jika merujuk halaman rasmi PT Dua Kelinci terdapat pelbagai lagi rasa yang menarik untuk dicuba seperti kacang menglembu berperisa jagung serta kacang menglembu berperisa cili.  

Ada sesiapa yang mahu pergi ke Indonesia?  Tolong belikan kami Supernut perisa jagung dan cili boleh?


19 Mac 2011

Mac 19, 2011

Bank Negara Malaysia - Syarat Kelayakan Untuk Mendapatkan Kad Kredit Disemak

Bank Negara Malaysia ingin memaklumkan langkah-langkah baharu kad kredit sebagai usaha berterusan untuk memupuk amalan pengurusan kewangan dan hutang yang berhemat dalam kalangan pemegang kad kredit. Langkah-langkah ini juga bertujuan untuk menggalakkan amalan perniagaan yang wajar dan bertanggungjawab oleh pengeluar kad kredit dengan meneruskan penambahbaikan dalam infrastruktur keselamatan kad.


Berkuat kuasa serta-merta, syarat kelayakan untuk mendapatkan kad kredit disemak seperti yang berikut:

  1. Kelayakan pendapatan minimum untuk pemegang kad kredit baharu ditetapkan pada RM24,000 setahun;  
  2. Perkara berikut adalah terpakai bagi pemegang kad yang berpendapatan RM36,000 setahun atau kurang:
    • Pemegang kad hanya boleh memiliki kad kredit daripada dua pengeluar kad sahaja
    • Pemegang kad sedia ada yang memiliki kad kredit lebih daripada dua pengeluar kad diberikan tempoh sehingga akhir tahun 2011 untuk menentukan pengeluar kad pilihan masing-masing. Pemegang kad juga akan diberikan tempoh sekurang-kurangnya dua tahun untuk menyelesaikan baki hutang kad kredit yang telah dibatalkan bagi memenuhi keperluan ini.
    • Had maksimum kredit yang diberikan kepada pemegang kad tidak boleh melebihi dua kali ganda pendapatan bulanan pemegang kad bagi setiap pengeluar.
    • Pemegang kad sedia ada yang mempunyai baki hutang kad kredit melebihi had maksimum kredit yang ditetapkan diberikan tempoh tangguh selama dua tahun untuk memenuhi keperluan baharu ini.

      Pengeluar kad akan berurusan dan berbincang dengan pemegang kad yang terbabit bagi membantu mereka menstrukturkan semula pembayaran hutang dalam usaha memudahkan pelaksanaan langkah ini. Selain itu, pemegang kad juga boleh menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mendapatkan nasihat berkaitan dengan pengurusan hutang mereka.

      Untuk artikel penuh sila layari - Bank Negara Malaysia



      18 Mac 2011

      Mac 18, 2011

      Did You Log Into Facebook From Somewhere New?

      Baru sebentar  tadi menerima email daripada pihak Facebook yang bertajuk "Did You Log Into Facebook From Somewhere New?" memberitahu bahawa terdapat seseorang diluar sana sedang cuba menggunakan akaun Facebook daripada lokasi yang diragui.  

      Menurut email itu lagi, berikutan masalah tersebut akaun Facebook tersebut telahpun dikunci buat sementara untuk tujuan keselamatan.



      Memang terkejut pada mulanya apabila membaca notis pemberitahuan tersebut. Maklumlah, kita ini cuma orang kebanyakan dan bukan tergolong daripada golongan yang terkenal.  Masakan ada orang yang cuba mencuri akaun Facebook? Untuk tujuan apa agaknya? Suka-suka?  Yang pastinya ia akan digunakan untuk tujuan yang tidak baik.

      Bila diselidiki memang ternyata benar, akaun Facebook tersebut telah pun dikunci buat sementara sehingga  pemilik akaun melakukan proses menuntut semula akaun.

      Pihak Facebook mengarahkan supaya pemilik akaun masuk seperti biasa ke akaun Facebook  serta membuat semakan terhadap aktiviti terkini akaun Facebook untuk tujuan pengesahan.



      Berdasarkan semakan aktiviti terkini memang menunjukkan terdapat cubaan untuk menggunakan akaun Facebook dari Jakarta, Indonesia! Jadi amat jelaslah bahawa itu adalah aktiviti yang amat meragukan kerana pada masa itu pemilik akaun Facebook tersebut berada di rumah! Ciss!


      16 Mac 2011

      Mac 16, 2011

      Akibat Tidak Sensitif

      Nampaknya isu berkaitan sensitiviti terhadap musibah gempa bumi serta tsunami di Jepun bukan sahaja berlaku di Malaysia malah turut melanda Singapura apabila syarikat MediaCorp memohon maaf secara terbuka atas keterlanjuran mereka.



      Isu ini menjadi hangat apabila email yang dihantar oleh Corrine Chong, Timbalan Presiden Unit Pemasaran dan Komunikasi  MediaCorp yang mengesa para pengiklan supaya menempah slot penigklanan kerana pihak MediaCorp akan membuat liputan secara komprehensif  mengenai musibah tersebut.  Berikut adalah email  kontroversi tersebut:

      “A massive 8.8-magnitude earthquake shook Japan in the early afternoon today, unleashing a powerful tsunami that wrecked havoc along the streets of coastal towns. Book your spots in the Weekday Evening News Bundle as the channel brings viewers comprehensive coverage reports on the disaster with extended versions of news bulletins tonight. Call our sales representatives now.”

      14 Mac 2011

      Mac 14, 2011

      Comicstriper: Sensitiviti - Bergantung Kepada Cara Penyampaian.

      Tertarik dengan komik yang dihasilkan oleh Encik Farhan yang menunjukkan Ultraman sedang bersedih dengan tajuk "Sensiviti  - Bergantung Kepada Cara Penyampaian".  Walaupun dihasilkan oleh amatur, ia memberi kesan yang mendalam kepada sesiapa yang melihatnya.  

      Benar katanya, tidak salah pihak Berita Harian menggunakan Ultraman sebagai subjek komik.. tetapi perlu kena pada tempatnya.




      Pengajaran buat akhbar Berita Harian supaya lebih sensitif. Musibah gempa bumi dan tsunami serta kehilangan nyawa rakyatnya bukan bahan lawak yang kelakar!


      12 Mac 2011

      Mac 12, 2011

      Barbican - Misi Menjayakan Projek Rasa

      Misi untuk melengkapkan "Projek Rasa" akhirnya tercapai. Memang pada mulanya berhasrat untuk mengetahui bagaimana rasanya sahaja.  Tetapi entahlah, mungkin perasaan ingin tahu itu menguasai segalanya

      Apabila mengetahui terdapat 7 perisa, memang teruja untuk mencuba kesemuanya. Setelah beberapa kali mencari dan melengkapkan kesemuanya, akhirnya misi berjaya diselesaikan dalam masa sebulan.
       

      Barbican - Misi Menjayakan Projek Rasa


      Projek ini bolehlah dikatan sebagai "suka-suka" kerana ia tidak memerlukan kepakaran tinggi untuk melaksanakannya. Cuma perlu singgah ke 7 Eleven atau Tesco untuk membelinya! Setelah mencuba kesemuanya, inilah keputusannya:

      Perisa Keputusan/Ulasan
      1 Pineapple Memang terasa buih-buih halus ditekak dan gasnya tidak terlalu kuat. Kombinasi rasa yang agak unik antara Malt dan Nanas.
      2 Peach Memang terasa buih-buih halus ditekak dan gasnya tidak terlalu kuat. Rasa Malt mengatasi Peach.
      3 Lemon Memang terasa buih-buih halus ditekak dan gasnya tidak terlalu kuat. Rasa Lemon yang amat  nipis.
      4 Apple Memang terasa buih-buih halus ditekak dan gasnya tidak terlalu kuat. Rasa Malt masih mengatasi Apple.
      5 Strawberry Memang terasa buih-buih halus ditekak dan gasnya tidak terlalu kuat.  Kombinasi rasa  yang agak unik antara Malt dan Strawberry.
      6 Raspberry Rasa Raspberry mengatasi Malt tetapi gasnya agak kuat. Tidak sesuai untuk malam hari.
      7 Malt Perisa Malt tulen yang agak pahit. Gas agak kuat. Kalau boleh elakkan daripada meminumnya. Sangat yakin bahawa ini bukan perisa pilihan ramai. Walau bagaimanapun ia mungkin sesuai untuk yang ingin berjaga malam.


      Keputusan ini adalah berdasarkan pendapat dan citarasa peribadi semata-mata. Parameter ujian ditetapkan selepas  jam 12:00 malam, ketika mengemaskini blog :)

      Akhirnya keputusan tanpa berbelah bahagi dicapai. Pilihan peribadi tentunya perisa Strawberry dan Pineapple.  Jika tiada Strawberry atau Pineapple,  perisa Lemon dan Apple boleh menjadi pengganti.  Yang lain-lain, sekadar Ok. Manakala Perisa Malt perlu dielakkan kerana rasanya agak pahit.  



      10 Mac 2011

      Mac 10, 2011

      Dadanya Bertukar Biru Apabila Ia Digunakan!

      Artikel berserta gambar ini dipetik dari akhbat The Sun bertarikh 09/03/2011. Menurut artikel tersebut, sekumpulan penyelidik di Jepun telah membangunkan telefon bimbit berbentuk seperti badan manusia. 

      Projek ini adalah gabungan koloborasi antara ATR (Advanced Telecummunication Research) dan NTT DoCoMo serta beberapa institut yang lain. Ia dijangka akan dikomersilkan dalam masa 5 tahun lagi setelah dilengkapi dengan pengesan imej dan sistem pengecaman suara.
       


      04 Mac 2011

      Mac 04, 2011

      iPad Turun Harga, iPad 2 Menjadi Idaman

      iPad 2 telah pun selamat  dilancarkan. Segala teka-teki mengenainya telah pun terjawab. Kagum dengan Steve Jobs, walaupun masih dalam bercuti sakit sempat juga menyempurnakan majlis pelancaran iPad 2.

      Bila iPad versi terdahlu dilancarkan, memang bercita-cita untuk memilikinya. Namun hasrat itu masih belum tercapai.  Kini versi kedua pula menjadi idaman. Entah bila akan dapat memilikinya..



      Terdapat beberapa perubahan dan pembaikan yang telah pun dilakukan pada iPad 2 berbanding versi terdahulu. Antara yang menarik tentunya unit pemprosesan pusat yang lebih laju,  fungsi kamera yang mampu merakam video HD, fungsi panggilan video, saiz yang lebih nipis dan yang paling menarik ialah fungsi "smart cover" yang membolehkan iPad 2 dihidupkan sebaik sahaja "smart cover" dibuka.



      iPad 2 masih lagi belum dilancarkan di Malaysia. Namun begitu pihak Apple Malaysia telah pun menyemak semula harga iPad versi terdahulu dan sekarang ia lebih murah. Kini harga iPad bermula dari RM1199 hingga RM2199.  

      Harga tersebut adalah dalam lingkungan harga netbook.  Jadi mungkin ramai pengguna yang mungkin akan tertarik untuk memilikinya  walaupun ia adalah versi sebelumnya.


      02 Mac 2011

      Mac 02, 2011

      Modenas Jaguh 175 - Tayar Belakang Baharu!

      Balik dari pejabat semalam, terus menuju ke bengkel. Terlanjur ada masa, elok dimanfaatkan untuk memastikan pengangkutan utama ke tempat kerja diselenggara dengan baik.  Kalau hal-hal sedemikian dapat dipastikan dalam keadaan yang elok, hati pun senang setiap kali menunggang ke tempat kerja.






      Kali ini Jaguh memerlukan tayar yang baharu. Tayar yang lama sudah sampai masa untuk digantikan.  Alang-alang menukar tayar belakang, baik juga menggunakan peluang tersebut untuk menggantikan kesemua komponen yang berkaitan dengannya seperti  "brake lining" dan set rantai beserta "sprocket". Senang untuk mekanik juga. Sekali jalan. 






      Oleh kerana sejak kebelakang ini harga getah telah meningkat, ia secara langsungnya mempengaruhi harga tayar. Untuk tayar Jaguh, harga sekarang bermula dari RM135 sehingga RM200.  Kalau 2 tahun dahulu, harganya dalam lingkungan RM100 sehingga RM150. Memang terasa peningkatannya. Tetapi apa boleh buat, itu merupakan faktor yang berada diluar kawalan. Lagipun yang untung sekarang ialah  peneroka  Felda serta pekebun getah. Mereka mendapat manfaat langsung daripada peningkatan harga komoditi getah. Alhamdulillah.

      Tayar kalau diselenggara dengan baik boleh bertahan sekitar 2 tahun. Apa pun ia bergantung juga pada penggunaan, kalau dalam konteks penggunaan sekarang iaitu setakat pergi dan balik ke tempat kerja untuk perjalanan sekitar 25km sehari memang sah boleh bertahan sehingga 2 tahun.