BEAM

Bila Encik Anif Menulis (BEAM)

Trending

30 Mei 2011

Mei 30, 2011

Proses Penambahbaikan Blog Sudah Diselesaikan

Bila blog sudah ditambah dengan bermacam-macam "widget", tentunya akan menyemakkan lagi keadaan blog. Jadi sudah sampai masa untuk dinilai semula keberkesanan setiap "widget" yang diletakkan pada blog. 

Mana-mana widget yang dilihat kurang bersesuaian dengan tema serta melambatkan "page loading" seharusnya dibuang. Tetapi itulah dilemma yang terpaksa dihadapi, kesemuanya "widget" tersebut ada gunanya.  

Akhirnya mengambil keputusan untuk tidak membuang terus sebahagian "widget" sebaliknya memindahkan "widget" tersebut dibeberapa tempat yang dilihat lebih bersesuaian dengan trend semasa.

29 Mei 2011

Mei 29, 2011

Janice and The Supertank - Malaysian

Memang sudah lama mencari MV untuk lagu  Janice and The Supertank - Malaysian sejak melihatnya dikaca televisyen bebarapa bulan yang lepas.

Pihak RTM 2 juga menggunakan lagu ini untuk promo rancangan Hello On Two (HOT) yang ke udara setiap pagi.

Jadi lagu ini bukan asing bagi yang biasa menonoton  RTM 2. Cuma mungkin ramai yang tidak tahu siapa penyanyinya serta tajuk lagu tersebut.

Tiba-tiba teringatkan sebahagian liriknya yang berbunyi "maybe we fight sometimes But then we compromise" dan mengambil keputusan untuk mencarinya maklumat lanjut mengenainya.






Alhamdulillah, pencarian tersebut berhasil dan nama "Janice and The Supertank" dan "Malaysian" muncul di keputusan enjin carian.  MV yang menggunakan animasi ringkas ini penuh dengan mesej dan agak sinis dalam menggambarkan rakyat Malaysia secara am. 

27 Mei 2011

Mei 27, 2011

Makan Dahulu..

Cerita ini tiada kaitan dengan aktiviti makan-makan secara langsung. Sekadar berkongsi tips. 

Sebenarnya ia adalah berkaitan dengan Apa yang kami sekeluarga praktikkan sebelum keluar membeli belah. 

Ya.. Kami akan makan terlebih dahulu! Mungkin sudah ramai yang tahu mengenainya. Tips ini amat popular dikalangan pakar-pakar psikologi, kewangan dan ustaz!

Tips ini amat berkesan buat kami sekeluarga. Membuat pembelian didalam keadaan kenyang membuatkan Kami lebih fokus terhadap pembelian dan Insyallah tidak akan terjebak membuat pembelian impulsif!

25 Mei 2011

Mei 25, 2011

Realiti Kehidupan #3 - Mengurus Manusia Kerja Susah!

Sehebat mana pun skill teknikal seseorang itu takkan lengkap jika tidak mampu mengurus serta melayan kerenah manusia.  

Jika sudah mampu mengurus sekumpulan "subordinate" memang tiada masalah untuk terus maju kehadapan kerana perkara yang paling sukar telah berjaya dikawal.

Sedar atau tidak kemahiran mengurus manusia semakin menjadi lebiih penting seiring dengan perkembangan kerjaya seseorang.

24 Mei 2011

Mei 24, 2011

Ke Mana Selepas SPM?

Keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) telah pun dikeluarkan baru-baru ini. Jadi, sepanjang minggu yang lepas ramai juga saudara mara serta rakan-rakan sepejabat yang bertanyakan pendapat serta prospek kursus dan segala perkara yang berkaitan.

Persoalan pokoknya tentunya - Ke Mana Selepas SPM?


Nampaknya kerjaya hakiki terpaksa dilupakan sebentar dan bertukar kerjaya kepada "Perunding Akademik dan Kerjaya"  bukan professional :)

Memang tidak dinafikan, persaingan adalah amat sengit untuk mendapatkan tempat di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).  Jadi hanya yang benar-benar bagus dan berkelayakkan akan mendapat tempat.

Namun begitu ada juga individu yang dikategorikan sebagai tidak bernasib baik. Walaupun mendapat tempat di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tetapi bidang yang dipilih serta ditawarkan berbeza dengan apa yang dipohon.

Walaupun tidak mendapat tempat ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), kebanyakkan mereka ditawarkan tempat ke tingkatan 6.  

Melanjutkkan pelajaran ke tingkatan 6 antara pilihan yang perlu diberi perhatian juga. Ia tidaklah seburuk yang disangka. Jika matlmat utamanya ialah untuk ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) / Universiti, melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6 adalah pilihan yang tepat!


Tidak minat untuk ke tingkatan 6?

 


Kalau masih juga tidak berminat ke tingkatan 6, mengikuti kursus-kursus persijilan professional perlu dipertimbangkan secara serius.

Memandangkan nasihat ini datangnya daripada seorang yang kerjayanya berkaitan dengan bidang teknologi maklumat, tentunya jalan serta tios yang diberikan lebih menjurus ke arah bidang tersebut.



Bagi yang berminat untuk memasuki bidang Teknologi Maklumat (Information Technology) bolehlah mengikuti kursus-kursus persijilan professional anjuran ComTIA, Cisco, Microsoft, Oracle, MITPE , Check Point, Certified Ethical Hacker dan lain-lain.  

Kebaikan mengambil kursus-kursus persijilan professional ini ialah jangka masanya yang agak pendek iaitu kurang daripada setahun (bergantung kepada individu), ianya diktiraf diperingkat antarabangsa serta kosnya yang agak berpatutan berbanding kursus setara yang ditawarkan di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Awam Swasta (IPTS).


21 Mei 2011

Mei 21, 2011

Tiada Lagi Macho Man!

RIP - Randy Savage - Macho Man


Terperasan di Yahoo Trending Now, carian "Randy Savage" tersenarai didalam carta Top 10 untuk hari ini.  Terus timbul minat untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut. Bagi warga Generasi X  [Link] tentunya mengetahui atau setidak-tidaknya akan terperasan nama tersebut.  Terkejut apabila mengetahui bahawa beliau telah meninggal dunia akibat kemalangan semalam setelah kenderaan yang dipandunya melanggar pokok di Tampa, Florida. 

Sebenarnya beliau adalah seorang ahli gusti profesional yang terkenal sekitar 90an. Memang betul sukan gusti itu adalah pertarungan yang telah pun dirancang  Walaupun dirancang ia tetap menyeronokkan!  Tetapi bila tubuh sedia dibanting, ditumbuk serta ditendang untuk nampak "real" perlulah dibuat betul-betul!   Hanya yang terlatih secara profesional yang mampu melakukannya dan yang pastinya beliau adalah salah seorang yang menguasainya.

Randy Savage adalah Macho Man

Randy Savage juga lebih dikenali dengan nama "Macho Man".  Permusuhannya dengan Hulk Hogan juga menjadi bualan.  Tetapi biasalah dalam gusti profesional ni, sekejap lawan dan sekejap sudah boleh jadi kawan!  Maklumlah semuanya telah diskripkan.. lebih kurang macam drama bersiri.

Apa pun berita kematiannya memang mengejutkan..  Tiada lagi Macho Man.. Oooo Yeahh!

19 Mei 2011

Mei 19, 2011

Buzrr - A Google Buzz Counter

Bila sudah gatal tangan tentu ada sahaja yang ingin dibuat. Nampaknya yang menjadi mangsanya hari ini ialah blog!  Terfikir untuk menambah sesuatu.  Rasanya ada yang kurang pada blog ini.  Kemudian baru teringat tentang fungsi "Google Buzz".  Elok juga kalau diintegrasikan pada blog.  Maka bermulalah pencarian. 



"Button Standart" dari "Google Buzz"  didapati kurang sesuai digunakan kerana saiznya agak besar sedikit daripada "button" yang sedia ada.  Akhirnya terjumpa "Buzrr".  Memang sesuai sangatlah kerana saiz "button" tersebut agak seragam dengan "button" yang telah sedia ada diblog.

16 Mei 2011

Mei 16, 2011

Terima Kasih Cikgu..

Sejak dari hari Jumaat yang lepas Nurin Iman sibuk dengan rancangan ingin membuat kad ucapan Selamat Hari Guru. Katanya dia ingin membuat sebanyak 10 buah kad untuk semua cikgu yang mengajarnya termasuk cikgu tadikanya.  

Mujur juga segala bahan-bahan yang diperlukan memang sudah ada. Jadi bertambah mudahlah untuk dia memulakan projek ini.

Akhirnya pada petang Ahad, Nurin Iman memulakan projek membuat kad ucapan tersebut. Untuk projek ini, Azza tentunya membantunya untuk memotong kad-kad tersebut mengikut saiz yang sesuai manakala Nurin Iman menulisnya.

Oleh kerana ini adalah projek yang diilhamkan oleh Nurin Iman, kami tentunya menggalakkan beliau menyiapkan projek tersebut.  Memang sukar juga untuk beliau menyiapkan kesemua 10 kad seperti yang dikehendaki.  Namun begitu, itu adalah sasaran yang beliau sendiri telah tetapkan, jadi mahu atau tidak dia mesti menyiapaknnya dengan apa cara sekalipun :)




Oleh kerana kad yang ditulis oleh Nurin Iman itu agak banyak, kualiti buatannya tentu mengikut mood serta turutan. Bagi kad yang mula-mula dibuat, tentunya ia agak cantik tetapi untuk beberapa kad yang terakhir hasil kerjanya asal boleh sahaja!  Apa pun itu adalah hasil kerjanya sendiri.. Yang penting bukan kad yang cantik tetapi usaha serta keikhlasan itulah yang lebih penting.
 
Kemudian teringat pula pada zaman bersekolah dahulu. Sekitar tahun 80an dahulu, budaya memberi kad memang masih belum popular.  Jadi apa yang mampu diberikan untuk dijadikan hadiah untuk hari guru biasanya terdiri daripada barang-barang kegunaan harian. Antara hadiah yang pernah diberikan kepada cikgu adalah sabun mandi!  Jadi bila perkara itu diceritakan kepada Nurin Iman tentunya dia tidak percaya!

Bagi anak-anak, apa yang penting untuk diberitahu serta mereka fahami adalah konsep menghargai dan menghormati. Keikhlasan pemberian daripada anak murid kepada cikgunya sebagai tanda pengiktirafan dalam mengenang jasa insan yang bergelar pendidik.

Terima kasih cikgu.


15 Mei 2011

Mei 15, 2011

Jodoh Kita Masih Panjang

Alhamdulillah blogger sudah kembali pulih seperti sediakala. "Entry" yang hilang tempohari telah pun dikembalikan semula. Semoga selepas ini tidak ada lagi insiden seperti ini akan berlaku lagi.  

Sejak blogger mula membuat hal tempohari, ramai juga yang memujuk serta mencadangkan supaya berpindah ke platform lain dan menggunakan khidmat "self hosting". Sebenarnya perkara tersebut memang sudah lama ada dalam perancangan, cuma hati ini masih lagi belum terbuka untuk berhijrah.

14 Mei 2011

Mei 14, 2011

Alahai Blogger...

Entry berkenaan Facebook Spam yang ditulis pada hari khamis telah hilang!  Ia disyaki berlaku apabila blogger menghadapi masalah sejak petang semalam. Sebaik sahaja perkhidmatannya pulih, didapati "entry" terakhir diblog memang sah telah hilang.  



Mengikut kenyataan pihak blogger, entry tersebut tidak hilang sebaliknya hanya dibuang untuk sementara
Mengikut kenyataan pihak blogger, entry tersebut tidak 
hilang sebaliknya hanya dibuang untuk sementara



Namun begitu mengikut kenyataan lengkap oleh pihak blogger yang dipos pada Buzz Blogger, menyatakan bahawa pihak blogger sedang berusaha sedaya upaya mengembalikan kesemua posting terakhir sebaik sahaja kerja-kerja pembaikan siap dijalankan. Nampaknya masih ada sedikit sinar disitu. Diharap segala kerja-kerja  mendapatkan semula data akan berjaya dilakukan.

Sejak mendaftar sebagai pengguna blogger pada tahun 2004, rasanya inilah kali pertama masalah seperti ini berlaku. Memang tidak dapat dinafikan memang agak kecewa apabila kehilangan satu "entry" dan sehari sebelumnya telah melakukan satu kesilapan di Facebook yang mengakibatkan kawan-kawan mendapat SPAM di wall. Nampaknya kekecewaan tersebut ditambah lagi dengan masalah di blogger!

Diharap selepas ini tiada lagi perkara yang pelik-pelik akan berlaku pada blogger. Sayang perkhidmatan yang sudah terbukti sangat cemerlang sejak bertahun-tahun lamanya tercemar dengan insiden ini. Diharap perkara sebegini tidak akan berlaku lagi di masa hadapan.

12 Mei 2011

Mei 12, 2011

Facebook SPAM

Sebentar tadi secara tidak sengaja telah terklik satu notis daripada aplikasi yang merupakan aplikasi SPAM di Facebook. Mungkin disebabkan terlalu mahu cepat, tidak memastikan aplikasi tersebut adalah sah. 

Sebaik sahaja ia diklik (VERIFY MY ACCOUNT), aplikasi tersebut menghantar mesej tersebut ke wall hampir semua senarai kawan-kawan yang ada didalam akaun Facebook! 


Please do your part in PREVENTING SPAM by VERIFYING YOUR ACCOUNT. Click VERIFY MY ACCOUNT right next to comment below to begin the verification process...

Jika menerima mesej seperti ini di wall akaun Facebook, SILA DELETE MESEJ TERSEBUT! Jika anda menurut arahan mesej tersebut, secara tidak langsung akaun anda akan digunakan untuk menggandakan lagi serangan SPAM ke atas akaun kenalan serta ahli keluarga yang ada dalam senarai akaun Facebook anda.

Mei 12, 2011

Idea Perniagaan Luar Biasa

Idea Perniagaan Luar Biasa
Seperti biasa apabila makan tengahari bersama rakan-rakan tentu akan ada sesi borak-borak kosong dan kadang kala menjadi sesi menjana idea secara tidak rasmi.  Kali ini kami cuba menjana Idea Perniagaan Luar Biasa.

Dalam pada berborak-borak kosong itu, timbul cerita untuk berniaga.  Macam-macam idea diberikan oleh rakan-rakan.  Dalam banyak-banyak idea, ada satu yang paling mencuit hati.

Perniagaan yang dicadangkan ini hanya perlukan modal yang paling minimum, tiada risiko dan hanya memerlukan sifat humor serta bersahaja.  Yang paling penting ia bukan berunsur Multi Level Marketing (MLM).

Untuk memulakan perniagaan ini, hanya perlu menyediakan sebuah meja dan 2 buah kerusi.  Perniagaan ini boleh dijalankan di pasar-pasar malam atau bazar. Bila sudah sampai masa untuk berniaga, letakkan meja tersebut dan duduk sambil menunggu pelanggan.. Bila ada bakal pelanggan yang bertanya apakah barangan yang dijual..  Peniaga perlu selamba menjawab:

11 Mei 2011

Mei 11, 2011

Realiti Kehidupan #2 - Belajar Dari Pengalaman Orang Tua!

Nampaknya harga gula naik lagi sebanyk 20 sen. Selepas ini kesan rantaian daripada kenaikan itu tentunya akan ada. 

Yang pastinya bagi yang oportunis tentu sahaja melihat perkara sebegini sebagai satu cara untuk meningkatkan keuntungan.

Bila disebut tentang kenaikan harga tentunya tidak ramai yang suka. Namun begitu itulah realiti kehidupan. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan harga, tiada yang akan kekal statik.  

Kadang-kadang dalam menempuh kehidupan yang serba mencabar ini, kita perlu melihat bagaimana mereka yang lebih tua daripada kita menghadapinya. Mereka lebih banyak merasa kenaikan harga berbanding kita. Contoh terdekat ialah ibu bapa kita sendiri. 

09 Mei 2011

Mei 09, 2011

Jam Tangan Masih Releven

Ada sesuatu yang pelik dapat dirasakan hari ini. Bila diperiksa dengan lebih teliti, rupa-rupanya terlupa untuk memakai jam tangan. Patutlah terasa ringan tangan kiri ni.

Semalam baharu sahaja membelek-belek jam tersebut dan memakainya sebentar untuk memastikan ia terus hidup. Maklumlah jam tangan automatik  jika tidak dipakai lebih 2 hari ia akan mati. 

Jadi sehari sebelum menjelang hari Isnin, ia akan dipastikan hidup untuk menjamin ketepatan masanya. Itu adalah rutin mingguan sejak 15 tahun yang lepas.

05 Mei 2011

Mei 05, 2011

Cerita Gigi Susu

Sudah beberapa hari dua batang gigi yang bergoyang itu sepatutnya tertanggal. Tetapi entah macam mana hanya satu yang tertanggal.




Menurut Azza, gigi itu terjatuh ketika Nurin Iman sedang makan roti petang semalam.

Gigi yang satu lagi itu masih tidak mahu tertanggal walaupun pelbagai cara dan insentif diberikan. Antara insentif yang ditawarkan ialah jika gigi itu dapat ditanggalkan, kami akan membelikannya sebekas aiskrim yang besar!

Walaupun gigi  yang satu itu belum lagi mahu tertanggal, aiskrim tetap dibelikan. Cuma saiznya bukan yang besar seperti yang dijanjikan. Sebaik sahaja Nurin Iman mahu menghabiskan asikrim tersebut, gigi  itu tertanggal dengan sendirinya. Alahai senangnya....

Jangan bimbang Nurin Iman, anak Ku. Gigi yang tertanggal itu hanyalah gigi susu. Ia akan tumbuh semula :)


03 Mei 2011

Mei 03, 2011

Selepas 10 Tahun.. #1

Semasa di Phuket tempohari, telah menerima beberapa SMS. Salah satu daripadanya datang dari seorang rakan lama yang bertanyakan khabar.  Oleh kerana kos untuk membalas semua SMS tersebut dari luar negara  cukup mahal, hanya membalas mana yang penting dahulu sahaja. 

Bila sudah beberapa hari kembali ke tanah air, baru teringat tentang mesej tempohari.  Segera membalasnya dengan satu panggilan telefon.  Terus meminta maaf kepadanya kerana tidak membalas SMS  pada masa tersebut serta menerangkan kesulitan yang dihadapi ketika itu.

Bila sudah lama tidak berbual-bual tentunya banyak yang hendak diceritakan. Bermula dengan bertanyakan khabar ahli keluarga masing-masing serta yang bersangkut paut dengannya.  

Kali terakhir mendengar berita tentangnya ialah beberapa bulan yang lepas daripada seorang kawan yang menyatakan bahawa beliau sudah berpindah kediaman. Segera bertanyakan mengenainya untuk mengesahkan cerita tersebut.  Ternyata berita yang diterima itu memang benar.  

Menurutnya lagi,  kini dia sudah memandu sendiri ke tempat kerja.   Wahh! ini merupakan satu lagi kejutan!  Macam tidak percaya kawan yang seorang ini sekarang sudah berani memandu sendirian ke tempat kerja. 

02 Mei 2011

Mei 02, 2011

Tips Membeli Kenderaan Terpakai

Tips Membeli Kenderaan Terpakai
Mendapat Tips Membeli Kenderaan Terpakai yang unik ini daripada seorang Pakcik semasa berada dibengkel kereta. Sementara menunggu kereta dibaiki, katanya..

"Jika hendak membeli kereta terpakai yang sudah agak berusia, perlu memastikan kereta tersebut mempunyai sistem audio yang bagus."

 Kemudian beliau menyambung lagi,

"Maklumlah kereta lama tentu ada bunyi-bunyi yang kurang menyenangkan.. Jika sistem audionya bagus, tentu akan menenggelamkan bunyi-bunyi tersebut."

Nampaknya Pakcik ini memang ada "Sense of Humor yang agak tinggi tetapi apa yang dikatakannya ada  juga benarnya. Memang boleh dijadikan tips membeli kenderaan terpakai tetapi harus menurut keadah "reverse psychology"!

Tips Membeli Kenderaan Terpakai


Secara tersiratnya, sebenarnya apa yang boleh dijadikan panduan ialah jika sesebuah kereta itu mempunyai sistem audio yang bagus, berhati-hatilah. Mungkin sistem audio yang bagus itu tujuannya untuk menyembunyikan sesuatu atau mengalih tumpuan pembeli.

Jadi semasa memilih kenderaan terpakai jangan terpedaya dengan sistem audio yang bagus atau aksesori tambahan yang menarik.

Sebaliknya tumpukan sepenuh perhatian kepada kenderaan yang hendak dibeli. Periksa dengan teliti:

  • Enjin
  • Chasis
  • Kestabilan kenderaan - (Lakukan Pandu Uji)
  • Transmisi - (Lakukan Pandu Uji)
  • Dokumen-dokumen berkaitan. 

Sistem audio yang bagus atau aksesori tambahan yang menarik boleh dianggap sebagai BONUS jika kesemua perkara penting telah diperiksa.