BEAM

Bila Encik Anif Menulis (BEAM)

Trending

25 September 2011

September 25, 2011

Modenas Jaguh 175 - Running In - Melonggarkan Sendi-sendi Enjin

Hujung minggu yang agak sibuk bagi kebanyakkan orang dengan aktiviti rumah terbuka. Mujur hari ini cuma ada 1 undangan ke rumah terbuka yang harus dihadiri.  Jadi tidaklah berkejar-kejaran ke sana sini.  

Lagipun undangan itu berdekatan dengan kediaman kami dan sebelum ke sana, sempat juga sebelum itu pergi ke bengkel untuk memperbetulkan brek belakang Jaguh. 

Segala-galanya tentang motorsikal perlu dipastikan sempurna. Maklumlah esok akan mula menunggang semula ke tempat kerja setelah hampir 2 minggu tidak berbuat demikian.




Modenas Jaguh 175 - Running In - Melonggarkan Sendi-sendi Enjin
Modenas Jaguh 175 - Running In - Melonggarkan Sendi-sendi Enjin



Enjin motorsikal yang baru di "overhaul" itu perlu dilakukan "Running In" sebelum boleh menunggang secara normal. Maksudnya penunggangan perlu dilakukan dengan perlahan untuk membiasakan serta melonggarkan sendi-sendi didalam enjin tersebut sebelum boleh mengerah enjin tersebut pada kadar biasa.

Mekanik menasihatkan supaya menunggang dibawah 80km/h untuk sepanjang tempoh "Running In".



23 September 2011

September 23, 2011

Modenas Jaguh 175 - Kerja-kerja Overhaul Dilakukan!

Meluangkan masa sebentar dibengkel untuk melihat kerja-kerja pembaikan motorsikal.

Hari ini adalah hari kedua motorsikal dibengkel. Difahamkan semua komponen telah pun dibuka dan diperiksa. Komponen yang rosak perlu diganti semuanya.  Alhamdulillah, keadaannya tidak seteruk seperti yang disangka sebelum ini.



Modenas Jaguh 175 - Kerja-kerja Overhaul Dilakukan!
Modenas Jaguh 175 - Kerja-kerja Overhaul Dilakukan!



Sebelum mekanik membuka enjin semalam, Saya telah berpesan kepadanya untuk memeriksa sekali sistem "clutch". Memandangkan semua komponen enjin telah pun dibuka, adalah lebih baik untuk memeriksanya.  Jika keadaannya tidak memuaskan, ia juga perlu ditukar.
 
Kerja-kerja ini dijangka siap esok. Diharap selepas ini semuanya akan kembali seperti biasa. Selagi tidak siap, umpama patah sebelah kaki! #1




22 September 2011

September 22, 2011

Pentingnya Bersikap Berkecuali Dalam Menjana Idea

Kadang-kadang apabila kita terlalu menyukai sesuatu idea atau perkara, kita akan lebih melihat kepada ciri-ciri positif yang ada padanya.


Apabila terlalu obses dengan ciri-ciri positifnya secara tidak langsung akan mengakibatkan kita terlepas pandang ciri-ciri negatif dan seterusnya terlepas pandang kelemahan sesuatu idea atau perkara itu.

Sebaik-baiknya apabila ingin memajukan sesuatu idea, kita perlu bersifat berkecuali (neutral). Menjadikan diri berkecuali akan dapat membantu kita melihat dari kedua-dua sisi secara terperinci ciri-ciri positif dan negatif mengenai idea yang diutarakan.  

18 September 2011

September 18, 2011

Jangka Hayat Perkakasan dan Peralatan Elektrik Secara Umum

Jangka hayat perkakasan dan perlatan elektrik amat sukar ditentukan.  Faktor harga sahaja tidak memadai untuk dijadikan panduan untuk menentukan jangka hayatnya.



Jangka Hayat Perkakasan dan Peralatan Elektrik Secara Umum
Jangka Hayat Perkakasan dan Peralatan Elektrik Secara Umum



Namun begitu kebanyakkan perkakasan dan peralatan elektrik dapat bertahan pada satu jangkamasa yang munasabah dengan mengambil kira gabungan beberapa faktor iaitu harga, kualiti, kadar penggunaan dan tempat peralatan itu digunakan.

Berikut adalah jangka hayat umum bagi perkakasan dan peralatan elektrik menurut RETRA (Radio, Electrical and Television Retailer's Association, United Kigdom):


Perkakasan dan Peralatan Kecil

 
Sterika, Cerek, Pengering Rambut, Pengisar Makanan,
Jangka hayat: 2 - 5 tahun.

VCRs dan DVDs berharga rendah,
Jangka hayat: 2 - 5 tahun.

VCRs and DVDs berharga premium
Jangka hayat: 5 - 8 tahun.

Perkakasan dan Peralatan Sederhana


Peti Sejuk, Peti Pembeku, Pengering Pakaian,
Ketuhar Gelombang Mikro 
Jangka hayat: 3 - 8 tahun.


Perkakasan dan Peralatan Besar


Dapur elektrik,
Jangka hayat: 8 - 10 tahun.

Mesin Pembasuh Pinggan, Mesin Basuh,
Jangka hayat: 4 – 8 tahun.

CTV mudah alih harga rendah,
Jangka hayat: 3 - 5 tahun.

CTVs berharga premium
Jangka hayat: 5 - 8 tahun.

Sistem Hi-Fi berharga rendah,
Jangka hayat: 2 - 5 tahun.

Sistem Hi-Fi berharga premium,
Jangka hayat: 5 - 8 tahun.

Jadi bila ada peralatan yang sudah melangkaui julat anggaran jangka hayat, ia umpama bonus! Namun begitu perlu waspada dan bersedia pada bila-bila masa kerana peralatan tersebut akan berhenti berfungsi tanpa sebarang notis.

Imej kredit, homedit.com


17 September 2011

September 17, 2011

Malaysia's David Beckham! - Safee Sali

Seronok juga bila sekali sekala membaca portal berita dari luar negara mengenai ahli sukan Malaysia. Berita dan gambar ini diambil daripada portal berita Wales Online mengenai Safee Sali yang baru-baru ini diberi peluang untuk diuji oleh kelab Cardiff City.

Malaysia's David Beckham - Safee Sali


Semoga beliau berjaya dalam misinya sebagai pemain profesional. Berdasarkan komen-komen daripada pembaca portal berita tersebut, rata-ratanya memandang tinggi keupayaannya.

15 September 2011

September 15, 2011

Perutusan Khas Hari Malaysia Oleh Yab. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak Sempena Sambutan Hari Malaysia 2011

Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam Hari Malaysia. Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian.

1. Alhamdulillah dengan limpah izin dan kurnia-Nya jua, kita dapat menyambut ulangtahun penubuhan Malaysia bagi kali ke-48 sebagai warga sebuah negara yang merdeka, berdaulat, demokratik, aman dan makmur.

2. Sesungguhnya kisah perjalanan Malaysia penuh warna-warni. Bermula daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah semasa penubuhannya, hari ini, hasil mahsul perancangan penuh sistematik dan pelaksanaan begitu mampan, kita telah berjaya muncul sebagai negara perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi. Bertolak dari situ, sekalipun kejayaan yang telah dicapai bersifat monumental dan amat signifikan, ia bukanlah alasan yang membenarkan kita untuk berhenti berusaha, berasa puas hati, berasa selesa, apatah lagi mengambil sikap bersimpuh sambil berpeluk tubuh.

3. Apa yang sewajarnya dilakukan demi survival serta kesejahteraan rakyat terus meningkat lagi terjamin dalam dunia yang amat kompetitif dewasa ini, marilah melipatgandakan usaha bagi menambahbaik daya saing nasional melalui penggunaaan kreativiti, inovasi dan menjulat usaha penciptaan kekayaan baru berasaskan sifat keusahawanan mandiri. Semua matlamat ini tidak mungkin akan tercapai tanpa wujudnya perpaduan nasional, keamanan, kestabilan dan keharmonian.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian, 

4. Membelek helaian-helaian tawarikh, apabila negara mencapai kemerdekaan 54 tahun lalu sehingga Malaysia dibentuk enam tahun kemudiannya, bersama-sama Sabah dan Sarawak, banyak pihak ketika itu, sama ada pemerhati asing, mahupun warga tempatan berasa ragu-ragu serta waham mempersoalkan tentang, sebuah negara baru yang negeri-negerinya terpisah dek Laut Cina Selatan, sedang diancam pula pemberontakan komunis, dengan separuh penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan, ditambah oleh faktor kemajmukan demografik yang luar biasa kompleksitinya, mungkinkah mampu untuk kekal utuh sebagai sebuah negara bangsa apatah lagi untuk berjaya?

5. Ternyata, pencapaian Malaysia selama ini, bertatih dan berjalan jatuh untuk mengecap nikmat kejayaan diiringi sebuah takdir yang penuh cabaran. Jika disisir sejarahnya, semacam satu keajaiban diawal usia setahun jagung meraih kemerdekaan, hakikat yang tersebut tadi ditambah berat pula dengan penerimaan sistem dan falsafah pentadbiran negara berasaskan Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan serta Persekutuan, telah diterima amal secara tuntas oleh kita begitu awal ketika mana proses pembudayaan masih lagi tidak matang.

September 15, 2011

Coastal Highway Sudah Dibuka

Sudah 2 hari memandu ke tempat kerja. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik walaupun kaki kiri masih terasa sengal-sengal. Maklumlah kereta yang dipinjam daripada adik adalah kereta bergear manual. Inilah akibat terbiasa memandu kereta automatik dan menunggang motorsikal. Bila memandu kereta manual terasa macam beban pula!

Mujur juga keadaan jalan raya di kawasan sebelah Skudai menghala ke Johor Bahru telah bertambah baik dan tiada lagi kesesakkan lalu lintas yang terlampau sejak pembukaan "Coastal Highway" tempohari. Arus kenderaan semakin lancar untuk menuju ke Pusat Bandar dan menghala ke Skudai pada waktu puncak. Alhamdulillah.


14 September 2011

September 14, 2011

Modenas Jaguh 175 - Dinasihatkan Supaya Melakukan Overhaul!

Minggu ini dimulakan dengan agak kelam kabut kerana kenderaan kesayangan yang digunakan untuk berulang alik ke tempat kerja telah memberikan petanda dan mengeluarkan bunyi-bunyi yang kurang menyedapkan.

Sebaik sahaja selepas waktu bekerja semalam, terus ke bengkel berdekatan dengan kediaman untuk mendaptkan jawapan mengenai masalah yang dihadapai oleh jentera tersebut.  Menurut mekanik yang memeriksa, bunyi pelik yang keluar dari enjin tersebut ialah bunyi "Connecting Rod" yang menunggu masa untuk berhenti berfungsi! 

Oleh yang demikian, mekanik tersebut menasihatkan supaya tidak lagi menunggang motorsikal tersebut ke tempat kerja untuk tujuan keselamatan dan untuk mengelakkan kos pembaikan meningkat, jika ia berhenti berfungsi secara tiba-tiba.

Sebaik sahaja diberitahu, terus sahaja memikirkan alternatif terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut. Untuk jangka masalah panjang, mulalah mencongak-congak kos untuk melakukan "overhaul" terhadap enjin tersebut.

Apabila memilih untuk melakukan "overhaul" untuk enjin tersebut, tentunya ia akan memakan masa beberapa hari untuk menyiapkan kerja-kerja yang berkaitan dengannya. Sementara menunggu kerja-kerja tersebut disiapkan, alternatif terbaik perlu juga difikirkan untuk pengangkutan ke tempat kerja nanti.

Bila ada situasi sebegini, umpama patah sebelah kaki!


10 September 2011

September 10, 2011

ASUS 10" Eee PC X101H - Biar Betul Harganya!

Terperasan iklan ini di akhbar semalam. Biar betul harganya! Hanya RM699!

Tiba-tiba teringat 15 tahun dahulu ketika bergelar pelajar universiti. Pada masa itu kalau harga sebegini berkemungkinan ianya cuma sebuah kamus elektronik! 







Sudahlah murah, boleh gunakan skim bayaran ansuran tanpa faedah lagi tu untuk membelinya! Memang berbaloi-baloi.

08 September 2011

September 08, 2011

Koleksi Katalog IKEA Malaysia

Koleksi Katalog IKEA Malaysia
Berikut adalah Koleksi Katalog IKEA Malaysia (IKEA Malaysia Catalogue Collections) sejak 7 tahun yang lepas bermula dari tahun 2008, 2009, 2010, 2011, 2012, 2013, 2014  dan yang terbaharu 2015 [Link].

Koleksi katalog-katalog ini telah pun dimuat naik ke Scribd [Link] untuk dikongsi bersama.

Katalog-katalog ini amat sesuai untuk dijadikan rujukan terutamanya dalam memaksimumkan penggunaan ruang yang terhad, memilih perabut serta aksesori yang bersesuaian.



Seorang pencinta teknologi dan sangat konservatif apabila berbicara tentang kewangan. Sentiasa mencari alternatif bagi menjadikan teknologi terkini mampu dimiliki. Menulis berdasarkan perspektif dan pengalaman sendiri. Jika anda dapati artikel diblog ini bermanfaat, sila kongsikannya di halaman jaringan sosial.

06 September 2011

September 06, 2011

Bila Perut Masih Belum Bersedia

Disebabkan terlalu seronok, terlupa yang perut masih belum bersedia dipadatkan dengan makanan yang berat-berat.  Maklumlah baharu sahaja selesai menjalani ibadat puasa. Sepatutnya perlu mula dengan perlaha-lahan..

Hujung minggu dimanfaatkan sepenuhnya berziarah dan menghadiri rumah terbuka di rumah sanak saudara yang berada disekitar Johor Bahru. Keluar rumah sekitar jam 3 petang dan pulang ke rumah menghampiri jam 1 pagi. Program berziarah berkumpulan ini memang menyeronokkan.

Keesokan harinya, terpaksa ke klinik kerana "diarrhea" dan diberi cuti sehari!  Tentunya pelbagai ubatan diberikan untuk meredakan situasi..


03 September 2011

September 03, 2011

Pokok Pulasan Ini Tidak Pernah Mengecewakan

Alhamdulillah sejak beberapa tahun yang lepas, pokok pulasan ini tidak pernah mengecewakan. Hasilnya juga cukup konsisten. 

Keseronokkan berhari raya dimeriahkan lagi dengan aktiviti memetik buah pulasan yang sedang meranum di belakang rumah Abah di kampung. 


Nampaknya tahun ini hanya pulasan sahaja yang benar-benar menjadi. Pokok buah-buahan yang lain hasilnya kurang memberangsangakan.