Aktiviti Hujung Minggu #2

Kami ke sekolah semalam kerana ada Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Bagi  Tahun 2011. Alhamdulillah tahun ini Saya dapat menyertainya. Tahun lepas tidak dapat menghadirinya kerana terpaksa bekerja. 

Mesyuarat berjalan seperti yang dirancang. Segala minit mesyuarat dan laporan kewangan tahun terdahulu telah disahkan.

Kini tiba masanya untuk memilih Yang Di Pertua PIBG berserta timbalannya dan Ahli Jawatan Kuasa Kerja (AJK) yang baharu. Tetapi sebelum pemilihan dijalankan, awal-awal lagi Yang Di Pertua PIBG serta timbalannya bagi sesi yang terdahulu meminta diri mereka tidak dicalonkan lagi kerana mereka sudah tiada anak yang bersekolah di sekolah itu lagi. Lagipun menurut mereka sudah sampai masa kepimpinan baharu mengambil alih.

Pada mesyuarat itu terdapat 2 usul yang dikemukakan iaitu mengenai yuran PIBG sebanyak RM30 bagi setiap keluarga serta bayaran RM10 bagi setiap murid untuk menampung penggunaan kertas bagi setiap pelajar. Seperti biasa apabila melibatkan soal pembayaran tentu akan ada pihak yang menyuarakan tentang relevennya bayaran RM10 yang akan dikenakan bagi setiap pelajar. Namun begitu setelah mendapat penjelasan yang sewajarnya daripada wakil pihak sekolah, usul tersebut akhirnya diterima sebulat suara.


Kemuncak kepada aturcara majlis pada hari itu adalah Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar. Pelajar-pelajar cemerlang dari semua aliran termasuk pendidikan khas telah diberikan pengiktirafan sewajarnya terhadap kecemerlangan mereka.



Alhamdulillah, kali ini Nurin Iman tersenarai untuk menerima anugerah kecemerlangan untuk mata pelajaran Pendidikan Agama Islam bagi tahun 1.

Tentunya sebagai ibu bapa, kami amat gembira dengan pencapaiannya tetapi kami juga sentiasa mengingatkannya bahawa kejayaan kecil ini hanyalah permulaan dan jangalah terlalu berbangga sangat dengannya. Masih jauh lagi perjalanan dan halangan yang perlu beliau tempohi.

Semoga dengan adanya pengiktirafan sedemikian mampu mendorong dan menjadi pembakar semangat bagi pelajar-pelajar di sekolah tersebut untuk terus cemerlang pada masa yang akan datang.










Anif.. Version 2.0 dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan-Perkongsian Serupa 2.5 Malaysia Creative Commons. Sebarang bentuk penggunaan dan penerbitan semula artikel dari blog ini hendaklah dinyatakan pautanya serta dikreditkan kepada penulis asal. Untuk maklumat lebih lanjut, sila rujuk Disclaimer.

Sila masukkan Email untuk melanggan artikel terkini:



Penghantaran Oleh FeedBurner

Share |

0 comments:

Copyright © 2017 BEAM™