BEAM

Bila Encik Anif Menulis (BEAM)

Trending

05 Jun 2012

Jalan-Jalan Di Iskandar Malaysia - Zon Ekonomi Utama B : Nusajaya

Antara tempat yang berdekatan dengan kediaman kami tetapi belum sekali pun berkesempatan untuk singgah di sana ialah Pelabuhan Puteri (Puteri Harbour) dan Kota Iskandar yang terletak di dalam Kawasan Pembangunan Iskandar (Iskandar Malaysia), Nusajaya. Mungkin kerana kawasan disekitarnya masih dalam pembinaan serta belum dibangunkan sepenuhnya membuatkan keinginan untuk pergi dipendamkan dahulu.

Kadang-kadang terasa malu juga apabila ditanya oleh rakan-rakan serta saudara mara yang tinggal di negeri lain mengenai Kawasan Pembangunan Iskandar (Iskandar Malaysia) [Link] yang sentiasa mendapat liputan meluas di media. Sejujurnya kami yang tinggal berhampiran pun masih belum menyempatkan diri untuk singgah di sana!

Pelabuhan Puteri (Puteri Harbour)
Pelabuhan Puteri (Puteri Harbour)

Namun begitu apabila Coastal Highway [Link] dibuka sepenuhnya penghujung tahun lalu, akses untuk laluan ke Pelabuhan Puteri (Puteri Harbour) dan Kota Iskandar menjadi lebih mudah. Ditambah lagi dengan pembukaan beberapa fasiliti yang memudahkan serta meningkatkan kualiti hidup penduduk disekitar kawasan tersebut seperti pasar raya besar dan bank.

Hujung minggu yang lepas kami mengambil keputusan untuk singgah sebentar ke Pelabuhan Puteri (Puteri Harbour) dan Kota Iskandar. Rasanya sudah sampai masanya untuk melihatnya dengan lebih dekat serta mengikuti perkembangannya!  Kedua-duanya terletak  di dalam Zon Ekonomi Utama B : Nusajaya.


Pelabuhan Puteri (Puteri Harbour)
Pelabuhan Puteri (Puteri Harbour)


Pelabuhan Puteri (Puteri Harbour)
 
Secara umumnya Pelabuhan Puteri (Puteri Harbour) adalah pembangunan pantai bersepadu yang meliputi kawasan seluas 688 ekar merangkumi tapak-tapak pejabat, aktiviti gaya hidup membeli-belah, rekreasi dan pantai . 

Komponen utama pembangunan ini adalah tambatan awam dan tambatan swasta yang menawarkan 276 buah tambatan termasuk 10 perahu layar mega. 

Kota Iskandar
Kota Iskandar




Kota Iskandar

Kota Iskandar [Link] merupakan pusat pentadbiran bersepadu Negeri Johor. Di sini  semua agensi serta pejabat-pejabat Jabatan Kerajaan Negeri dan pejabat-pejabat Jabatan Kerajaan Persekutuan ditempatkan. Ia meliputi kawasan seluas 320 ekar. 

Komponen-komponen yang telah diwujudkan di Kota Iskandar yang merangkumi Bangunan Dewan Negeri Johor, Kompleks Ketua Menteri dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Kompleks Pejabat Kerajaan Negeri dan Persekutuan dan sebuah plaza istiadat. Tanah itu adalah di bawah pemilikan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Perbadanan).

Daripada pemerhatian didapati bahawa pembangunan di Kota Iskandar telahpun siap sepenuhnya dan pembangunan komersial di sekitar Pelabuhan Puteri (Puteri Harbour) sedang berjalan. Manakala tarikan terbaharu di Iskandar Malaysia - Zon Ekonomi Utama B : Nusajaya yang dijangka siap pada suku keempat tahun ini ialah Legoland Malaysia. Menurut halaman webnya, ia akan memulakan operasi pada 15 September 2012 [Link].

Bagi yang mahu ke Johor Bahru, jangan lepaskan peluang untuk singgah sebentar ke Pelabuhan Puteri (Puteri Harbour) dan Kota Iskandar. Kota Iskandar boleh diibaratkan sebagai Putrajaya dibahagian selatan tanah air! Hayati senibinanya serta keindahan landskapnya. Saya juga amat yakin bahawa lokasi ini menawarkan kepuasan bagi peminat seni fotografi. 

Memang pesat pembangunan di Iskandar Malaysia. Bila siap sepenuhnya nanti tentunya ia mampu menjadi tumpuan pelancong serta pusat pemacu ekonomi khususnya buat Negeri Johor.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan