Kalau Mahu Makan Kena Pulas Dahulu!

Hujung minggu yang sangat membuahkan hasil! Balik ke kampung dan memetik buah dan itulah yang dikatakan sangat membuahkan hasil. Tahun ini pokok pulasan yang hanya ada sebatang itu berbuah dengan lebatnya. Alhamdulillah!

Memang meriah tahun ini sebab semua pokok buah-buahan di kampung berbuah. Pembuka tirai tempohari dimulakan oleh durian. Memang pengalaman yang menarik terutamanya buat anak-anak.



Nurin Iman dan Nurin Amani sangat sukakan buah-buahan terutamanya pulasan. Buah yang dipulas untuk mengeluarkan isinya tu..

Kali ini kami berjaya menunjukan pada mereka bentuk fizikal buah tersebut kerana sebelum ini kami hanya mampu bercerita mengenainya sahaja. Yang pastinya mereka keliru antara pulasan dan rambutan kerana rasanya hampir sama. Walaupun telah diberitahu, Adik tetap memanggilnya rambutan!





Buah manggis tidak banyak lagi yang tinggal tetapi cukuplah untuk kami sekeluarga. Tergelak juga semasa sedang membersihkan buah-buahan ini untuk dibungkus, Nurin Iman memanggilnya sebagai Mangga!  Haha.. Bukan Mangga nak... Ini Manggis namanya! 


Nasib baik juga kami berdua masih ada kampung , kalau tidak tentu anak-anak ini tidak tahu apa-apa mengenai buah-buahan tempatan dan tumbuh-tumbuhan.

Cabaran bagi anak-anak yang membesar di bandar. Kalau tidak didedahkan dan diberitahu, sampai bila-bila mereka tidak akan tahu!


Sambil berbual-bual dan memetik buah dengan Abah, tanpa disedari penuh juga kereta sorong ini dengan hasilnya. Banyak yang kami bualkan terutamanya mengenai pokok-pokok yang kami tanam ini dahulu. Sekarang semuanya telah mengeluarkan hasil. Memang terasa sangat, cepat benar masa berlalu.. diam tak diam kebanyakkan pokok-pokok ini telah berusia hampir 22 tahun.

Tentunya yang paling banyak ialah pulasan. Sedikit manggis, duku dan rambutan. Cukuplah untuk dibawa pulang ke Johor Bahru untuk  makan sendiri dan diberi sedikit kepada jiran tetangga.


Alhamdulillah, Nurin Iman dan Nurin Amani, insan yang paling gembira ketika balik ke kampung. Berlari ke sana sini bermain bersama sepupu dan makciknya dan merasai sendiri pengalaman memetik buah-buahan bersama Atuk :)




Baca Anif.. Version 2.0 melalui email. Sila masukkan email anda untuk langganan:


Penghantaran Oleh FeedBurner

0 comments:

Copyright © 2017 BEAM™