BEAM

Bila Encik Anif Menulis (BEAM)

Trending

08 Ogos 2011

Belajar Menghargai Hidup Daripada Kesakitan

Sabtu lepas Saya ke Kuala Lumpur.  Tujuannya adalah untuk melawat seorang rakan yang sedang berada di wad ICU di Hospital Ampang.  Saya mengenali beliau ketika sama-sama menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia dan seterusnya menjadi rakan serumah ketika di tahun akhir pengajian.  

Memandangkan ia adalah lawatan singkat dan ingin segera sampai ke destinasi, Saya mengambil keputusan untuk menaiki penerbangan yang paling awal dari Johor Bahru dan pulang melalui penerbangan terakhir daripada Kuala Lumpur.   


Setibanya di LCCT, Saya terus menggunakan perkhidmatan Skybus untuk ke KL Sentral. Sebaik sahaja tiba di sana, Saya segera menghubungi seorang lagi rakan yang tinggal di Klang untuk sama-sama ke Hospital Ampang.  Dalam pada itu 3 orang rakan yang lain sedang dalam perjalanan dari Mutiara Damansara, Kuantan serta Jerantut untuk menyertai kami.

Waktu melawat bagi wad ICU bermula pada jam 12:30 tengahari sehingga jam 2:00 petang, jadi kami perlu sampai ke sana dalam lingkungan waktu tersebut.  Mujur juga ada peranti GPS yang menjadi alat bantuan pada pemandu untuk ke tempat yang dituju. 

Alhamdulillah, walaupun tanpa perancangan serta notis pemberitahuan yang agak singkat, kami dapat mengumpulkan 5 orang bekas rakan serumah untuk melawat. Cuma sedikit kecewa kerana seorang daripada kami tidak dibenarkan masuk kerana terlewat sampai.

 Belajar Menghargai Hidup Daripada Kesakitan



Walaupun jauh di selatan, Saya sebenarnya mengikuti perkembangan beliau melalui blog dan Facebook. Cuma sejak dari awal tahun ini, beliau sudah agak kurang aktif mengemaskini blog miliknya dan kadang kala sahaja aktif di Facebook. Apabila mendapat tahu beliau semakin kerap berada di wad, Saya mula memberitahu bekas rakan-rakan serumah yang lain agar cuba sedaya upaya untuk melawat beliau jika berkesempatan.

Memang sedih dengan musibah yang menimpa rakan kami itu. Walaupun begitu, Saya sebenarnya kagum dengan semangatnya serta keupayaannya memotivasikan diri agar terus positif mengenai hidup. Semoga beliau diberikan kekuatan untuk mengharunginya.  

Saya sentiasa mendoakan kesejahteraannya. 



Anif.. Version 2.0 dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan-Perkongsian Serupa 2.5 Malaysia Creative Commons. Sebarang bentuk penggunaan dan penerbitan semula artikel dari blog ini hendaklah dinyatakan pautanya serta dikreditkan kepada penulis asal. Untuk maklumat lebih lanjut, sila rujuk Disclaimer.

Sila masukkan Email untuk melanggan artikel terkini:



Penghantaran Oleh FeedBurner

Tiada ulasan:

Catat Ulasan