Wang Kertas Dan Duit Syiling Malaysia Siri Baharu

Wang Kertas Dan Duit Syiling Malaysia Siri Baharu
Keunikan Malaysia
Wang Kertas Malaysia Siri Baharu

Ciri-ciri unik yang mencorak budaya dan warisan serta keindahan alam semula jadi negara menjadi sumber inspirasi dalam reka bentuk wang kertas Malaysia siri terbaharu ini. 

Dengan tema 'Keunikan Malaysia', siri keempat wang kertas Malaysia ini memaparkan ekspresi tradisional berilhamkan seni dan kraf tangan, keajaiban alam semula jadi, flora dan fauna, ekonomi dan tradisi.

Ciri-ciri Am

Pada bahagian hadapan semua denominasi wang kertas, telah dikekalkan potret Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman ibni Tuanku Muhammad, bunga kebangsaan iaitu bunga raya Rosa-sinensis (dikenali sebagai Bunga Raya dalam kalangan penduduk tempatan) dan corak songket kain tenunan tradisional. 

Bahagian belakang setiap denominasi wang kertas memaparkan ciri-ciri alam semula jadi, tradisi, budaya, flora, fauna dan ekonomi yang khusus bagi Malaysia.

Spesifikasi Teknikal
Denominasi Substrat Ukuran Warna
RM100 Kertas 150mm X 69mm Ungu
RM50 Kertas 145mm X 69mm Hijau-biru
RM20 Kertas 145mm X 65mm Jingga
RM10 Kertas 140mm X 65mm Merah
RM5 Polimer 135mm X 65mm Hijau
RM1 Polimer 120mm X 65mm Biru



Wang Kertas Dan Duit Syiling Malaysia Siri Baharu - RM100

Wang kertas RM100
Keajaiban Alam Semula Jadi


Dua keajaiban alam semula jadi terkemuka negara yang diisytiharkan sebagai 'Tapak Warisan Dunia' oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dipaparkan pada wang kertas RM100. 

Keajaiban alam semula jadi yang mengagumkan ini ialah Taman Kinabalu di Sabah, dengan Gunung Kinabalu yang hebat dan agung (iaitu gunung tertinggi di Asia Tenggara) dan pembentukan batu mercu batu kapur yang menakjubkan di lembah Gunung Api, yang ditemui di Taman Negara Mulu di Sarawak. 

Kedua-duanya adalah antara keajaiban alam semula jadi di Malaysia yang memberi pengunjungnya satu pengalaman yang unik.


Wang Kertas Dan Duit Syiling Malaysia Siri Baharu - RM50

Wang kertas RM50
Pertanian dan Teknologi


Kelapa sawit dan bioteknologi dipaparkan pada wang kertas RM50 sebagai ikon ekonomi Malaysia yang berkembang maju. Kelapa sawit telah menjadi tanaman pertanian negara yang paling utama dari segi ekonomi kerana Malaysia merupakan salah satu pengeluar dan pengeksport terbesar kelapa sawit di dunia.

Bioteknologi terus meningkatkan kedudukan komoditi ini dalam rantaian nilai, menyokong transformasi ekonomi negara ke arah aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi dalam sektor pertanian, perkilangan dan perkhidmatan. 

Minyak sawit mentah juga digunakan sebagai komoditi dasar bagi memudahkan pembiayaan secara Islam.



Wang Kertas Dan Duit Syiling Malaysia Siri Baharu - RM20


Wang kertas RM20
Hidupan Laut


Dua spesies penyu terkenal dan hanya dijumpai di perairan Malaysia iaitu Penyu Karah (Eretmochelys imbricata) dan Penyu Belimbing (Dermochelys coriacea), yang juga merupakan lambang hidupan laut yang pelbagai dan berwarna-warni di perairan tropika kita, dipaparkan pada wang kertas RM20 baharu.

Penyu Karah mudah dikenali melalui muncungnya yang melengkung dan kulitnya yang bersisik manakala Penyu Belimbing pula mempunyai kulit yang keras dan tujuh jaluran pada cangkerangnya. 

Kewujudan penyu-penyu ini memberi peringatan bahawa kehidupan mereka bergantung pada imbangan aktiviti manusia dan pemuliharaan hidupan laut yang perlu dikendalikan dengan bijaksana.




Wang Kertas Dan Duit Syiling Malaysia Siri Baharu - RM10

Wang kertas RM10
Flora


Hutan tropika Malaysia yang tumbuh subur, iaitu salah satu hutan hujan tertua di dunia, mempunyai berjenis-jenis pokok berbunga dan antara yang paling ikonik ialah bunga yang terbesar di dunia iaitu Rafflesia.

Spesies Rafflesia Azlanii yang dipaparkan pada wang kertas RM10 baharu ini merupakan spesies asli Semenanjung Malaysia dan mula-mula sekali ditemui di Hutan Simpan Royal Belum di negeri Perak pada tahun 2003.

Bagi memperingati penemuan ini, bunga yang mengagumkan ini dinamakan sempena nama Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah.


Wang Kertas Dan Duit Syiling Malaysia Siri Baharu - RM5


Wang polimer RM5
Hidupan Liar


Burung Enggang Badak (Buceros rhinoceros), iaitu salah satu spesies burung enggang terbesar dan paling mengagumkan di dunia, dipaparkan pada wang kertas polimer RM5 baharu. 

Burung hutan yang menarik, bersayap lebar dan berekor panjang yang boleh ditemui dalam kelompok kecil di hutan hujan di seluruh negara ini memainkan peranan penting dalam budaya dan upacara tradisional negeri Sarawak yang turut dikenali sebagai 'Bumi Kenyalang'. 

Burung enggang juga melambangkan simbol kekuatan dan keberanian bagi masyarakat asli Sarawak.


Wang Kertas Dan Duit Syiling Malaysia Siri Baharu - RM1

Wang polimer RM1
Sukan Tradisional


Permainan wau merupakan sukan tradisional yang popular di Malaysia terutamanya di Kelantan dan Terengganu. Permainan wau juga secara tradisinya merupakan suatu acara untuk meraikan hasil tuaian yang baik yang merapatkan masyarakat tempatan negeri-negeri tersebut.

Wau Bulan adalah antara wau Malaysia yang terkenal dan paling ikonik, dan dipaparkan pada wang polimer RM1 baharu. 

Wau Bulan buatan tangan, yang diperbuat daripada buluh dan kertas, juga menjadi barang hiasan popular yang menghiasi rumah-rumah di Malaysia.


Keunikan Malaysia
Duit Syiling Malaysia Siri Ketiga


Wang Kertas Dan Duit Syiling Malaysia Siri Baharu - 50sen, 20sen, 10sen dan  5sen




Ciri-ciri unik yang mencorak budaya dan warisan negara menjadi sumber inspirasi dalam reka bentuk duit syiling Malaysia siri ketiga ini. Dengan tema 'Keunikan Malaysia', reka bentuk baharu duit syiling ini memaparkan motif-motif seni kraftangan tradisional dan keindahan flora dan fauna negara. Duit syiling ini menyerlahkan identiti kebangsaan Malaysia yang kaya dan pelbagai dengan begitu indah sekali.

Ciri-ciri Am

Bahagian hadapan setiap denominasi memaparkan motif berbeza, 14 titik untuk melambangkan 13 negeri dan Wilayah Persekutuan dan (kecuali duit syiling 50 sen) lima garis mendatar bagi menggambarkan prinsip-prinsip Rukun Negara. 

Bahagian belakang duit syiling pula memaparkan motif Bunga Raya atau Rosa-sinensis, iaitu bunga kebangsaan Malaysia, tahun penempaan, nilai muka duit syiling dan perkataan 'BANK NEGARA MALAYSIA'. 

Spesifikasi Teknikal
Nilai Muka
50 sen
20 sen
10 sen
5 sen
Logam
Nikel Loyang Bersalut Kuprum
Nikel Loyang
Keluli Tahan Karat
Keluli Tahan Karat
Garis pusat (mm)
22.65
20.60
18.80
17.78
Berat (gram)
5.66
4.18
2.98
1.72
Bentuk
Bulat berlekuk 9
Bulat
Bulat
Bulat
Sisi
Kosong
Kasar
Halus
Kosong
Warna
Kuning
Kuning
Putih
Putih


Duit Syiling Malaysia Siri Ketiga - 50sen

50 sen
Sulur Kacang

Motif sulur kacang pada duit syiling 50 sen amat terkenal kerana sering digunakan oleh para pengukir dalam seni ukiran kayu dan perak mereka. Kelembutan lingkaran dan juntaian pokok kacang tergambar dalam ukiran pada barang kemas, peti, dan juga pada bahagian-bahagian rumah kayu tradisional seperti muka pintu, bingkai tingkap serta panel kayu pada dinding rumah. Garisan halus pada latar belakang motif merupakan sebahagian daripada ciri keselamatan. 




20 sen
Bunga Melur

Bunga melur mendapat tempat yang istimewa dalam kebudayaan tiga kaum utama di Malaysia. Keharuman bunga ini menjadikannya sebagai satu elemen penting dalam majlis tradisional seperti majlis perkahwinan dan acara keagamaan. Motif bunga melur juga sering terdapat pada hasil kesenian dan pertukangan tangan tradisional seperti sulaman dan ukiran perak. Pada duit syiling 20 sen baharu ini, bunga melur dipaparkan dengan berlatarkan motif kain destar siga. 

Duit Syiling Malaysia Siri Ketiga - 10sen

10 sen
Motif Orang Asli 

Orang Asli di Malaysia cukup terkenal dengan kemahiran seni anyaman daun-daun dan tumbuhan setempat untuk dijadikan perhiasan seperti hiasan kepala, selempang dan skirt yang dipakai di upacara dan majlis tradisional. Setiap kaum memiliki corak anyaman tersendiri yang lazimnya diilhamkan daripada sistem kepercayaan dan persekitaran mereka. Duit syiling 10 sen baharu mengabadikan seni warisan ini dalam bentuk corak anyaman unik suku kaum Mah Meri di Semenanjung Malaysia. 


Duit Syiling Malaysia Siri Ketiga - 5sen

5 sen
Destar Siga 

Kain destar siga merupakan sejenis tenunan kain asli suku kaum Kadazan Dusun di Sabah. Ia biasanya dijadikan sebagai hiasan kepala dalam majlis tradisi mereka. Kain hiasan kepala ini ditenun terutamanya dengan benang hitam dan diserikan dengan benang pelbagai warna bercorak geometri serta motif yang diilhamkan daripada flora dan fauna. Dengan berlatarkan motif sulur kacang, destar siga menjadi corak utama pada duit syiling 5 sen baharu. 


---------------------------

Yang menarik tentunya kemunculan semula wang kertas RM20 sejak kali terakhir digunakan pada tahun 1996.






Anif.. Version 2.0 dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan-Perkongsian Serupa 2.5 Malaysia Creative Commons. Sebarang bentuk penggunaan dan penerbitan semula artikel dari blog ini hendaklah dinyatakan pautanya serta dikreditkan kepada penulis asal. Untuk maklumat lebih lanjut, sila rujuk Disclaimer.

Sila masukkan Email untuk melanggan artikel terkini:



Penghantaran Oleh FeedBurner



Komen Melalui Facebook: