BEAM

Bila Encik Anif Menulis (BEAM)

Trending

23 April 2011

Masa Untuk Berjalan-Jalan Makan Angin - Phuket #1

Ini adalah Koleksi Catatan Perjalanan  -  Masa Untuk Berjalan-Jalan Makan Angin - Phuket #1

Phuket - Hari Pertama

Berkumpul untuk memulakan perjalanan dari Johar Bahru untuk menuju Terminal 1 Changi, Singapura seawal jam 4:10 pagi.

Walaupun jadual penerbangan menuju ke Phuket adalah pada pukul 8:20 pagi, kami perlu masuk ke Singapura seawal mungkin kerana perlu melepasi pemeriksaan di CIQ kedua-dua negara. Selaian itu kami juga terpaksa bersama-sama sepantas mungkin bersaing dengan mereka yang menjadikan Singapura negara untuk mencari rezeki.

Memang cukup lega apabila sudah melepasi CIQ kedua-dua negara tanpa banyak masalah. Semuanya berjalan lancar dan mengikut jadual yang ditetapkan, Alhamdulillah.  Kami selamat tiba di  Terminal 1 Changi, pada pukul 6:20 pagi dan terus berkumpul semula untuk bersedia melalui proses mendaftar masuk secara berkumpulan.  Selepas urusan mendaftar masuk selesai, masih ada masa untuk bersarapan dan menyelesaikan segala isu yang tertangguh.

Kami berlepas ke Phuket melalui penerbangan 3K533 Jetstar menerusi Pintu Berlepas 17. Memandangkan Changi adalah antara lapangan terbang yang tersibuk di dunia, pesawat terpaksa menunggu giliran untuk menggunakan "runaway". Menjelang puku 9:00 pagi pesawat sudah berjaya meninggalkan Changi untuk ke Phuket.


Phuket - Hari Pertama

Kami selamat tiba di Pulau Phuket pada pukul 10:15 pagi atau 9:15 pagi waktu tempatan.  Sebaik tiba memang terdapat sedikit kekeliruan mengenai waktu tempatan sehinggakan ada yang berserloh dan mengatakan bahawa  inilah perjalanan yang paling singkat menaiki kapal terbang kerana hanya 15 minit sudah sampai ke destnasi! Maklumlah bertolak tadi dari Singapura kira-kira pukul 9:00 pagi dan sampai di Phuket pukul 9:15 pagi waktu tempatan :)

Sebaik tiba aktivi pertama yang dilakukan ialah singgah ke kilang membuat T-Shirt. Memang T-Shirt yang ditawarkan di sini harganya amat berpatutan. Dari hadapan tempat ini tidak ubah seperti kedai biasa, tetapi dibelakangnya terdapat aktiviti mencetak T-Shirt yang dilakukan oleh para pekerja. Patutlah ia digelar T-Shirt Factory.





Bagi yang tercari-cari buah tangan Phuket, tentunya ini adalah salah satu barangan yang perlu diberi perhatian kerana kebanyakan T-Shirt yang dijual adalah bermotifkan Thailand dan Phuket khususnya.  Memang sesuai sangatlah untuk dijadikan buah tangan.

Cuma masih terasa awal sangat untuk berbelanja membeli buah tangan sedangkan kami mempunyai 4 hari lagi untuk menjelajah Phuket.






Membeli T-Shirt di T-Shirt Factory menjadi mukadimah membeli-belah di Phuket. Dalam keseronokan membeli memang tidak sedar bahawa sudah sampai masa untuk makan tengahari. Untuk tujuan itu, kami di bawa  ke The Metropolo Hotel  untuk menikmati makan tengahari secara buffet

Memang teruja untuk makan di situ pada mulanya tetapi apabila diberitahu oleh "Tour Guide" bahawa restoran itu adalah "non-halal" terus mati selera!  

Pelajaran yang pertama kami pelajari di Phuket ialah walau selapar mana pun, sila pastikan makanan yang bakal di makan itu sah status halal haramnya. Kalau ragu-ragu lebih baik elakkan dan sekurang-kurang perlu sediakan sedikit bekalan makanan dalam beg untuk menampung sementara perut sehingga ada pilihan lain.

Untuk mengelakkan daripada kelaparan terpaksalah bertukar kepada mod "vegetarian ".  Mujur juga di restoran tersebut menyediakan hidangan salad serta kerabu sayuran yang agak banyak pilihannya. Kalau tidak tentu terpaksa makan buah sahajalah nampaknya...

Selesai menikamati makan tengahari, kami di bawa melawat Chalong Temple. Kami tidak lama di sini, cuma diperuntukkan lebih kurang 15 hingga 20 minit untuk bergambar di sekitarnya manakala bagi yang mempercayai dan mengamalkan ajaran Buddha tentunya tidak melepaskan peluang ini untuk melawat ke dalam kuil.  





Lagipun jam sudah menunjukkan lebih kurang pukul 1:30 petang dan cahaya matahari yang amat terik tanpa belas kasihan seolah-olah sedang membakar kulit! Memang tidak boleh lama berada di situ.  Tidak  tertahan panasnya. Nampaknya cuaca di Phuket memang cukup panas ketika ini.

Destinasi seterusnya ialah sebuah kedai cenderamata dan kilang memproses buah gajus. Berbanding kedai cenderamata, tentunya yang lebih menarik perhatian ialah kilang memproses gajus.





Sebaik sahaja bas menghampiri kilang memproses gajus, memang teruja apabila terlihat sebatang pokok gajus yang berbuah dengan agak lepat yang berada dihadapan kilang.


 



Bukan senang hendak melihat buah tersebut dari jarak dekat kerana tidak ramai yang menanamnya sekarang.  







Tetapi sebaik sahaja dilihat dari dekat rupa-rupanya buah-buah gajus tersebut adalah "palsu"! Ciss..

Kilang memproses gajus ini nampak moden. Lengkap dengan segala peralatan yang digunakan untuk memproses dan membungkus produk berasaskan gajus. 





Namun kaedah mengupas biji gajus secara tradisional masih lagi dipertontonkan kepada umum. Kalau kaedah ini masih lagi digunakan tentunya sukar untuk mengkomersialkannya. Kena kupas sebiji demi sebiji untuk mengasingkan gajus dari kulitnya!  Sangat tidak praktikal dan memakan masa yang terlalu panjang sedangkan seorang pelanggan mampu menghabiskan "sample" produk  yang diberikan sekelip mata sahaja!

Sebaik sahaja selesai melawat kilang memproses gajus, kami terus dibawa ke hotel penginapan. Kami tiba di hotel dan menyempurnakan proses "check in"  sekitar jam 4:00 petang.  Kami menginap di Andaman Beach Suites  yang terletak di Patong Beach.




Memang cukup lega bila sudah sampai ke bilik hotel. Dapatlah berehat secukupnya sebelum menyambung lagi aktiviti pada sebelah malam. Di sebelah malamnya kami dijadualkan untuk menghadiri majlis makan malam bersama-sama kumpulan pertama yang telah sampai ke Phuket sejak 3 hari yang lepas.







Kedudukan hotel yang menghadap Patong Beach memang cukup menarik. Permandangan semakin indah lebih-lebih lagi ketika matahari mulai terbenam. Tentunya bagi pemilik DSLR, saat sebegitu memang di tunggu-tunggu.






Di sebelah malamnya, aktiviti wajib tentunya majlis makan malam bersama kumpulan pertama yang telah berada di Phuket sejak 3 hari yang lepas.  Keesokkan harinya merupakan hari terakhir mereka di Phuket, jadi kesempatan ini digunakan untuk berkumpul beramai-ramai dan seterusnya meminta tips daripada mereka yang terdahulu yang telah menjelajah Phuket.

Majlis makan malam kami berangsung di Andaman Beach Club yang terletak berhampiran dengan hotel penginapan.  Sebaik sahaja selesai makan malam, kami menyertai kawan-kawan dari kumpulan pertama yang ingin melakukan "last minute shopping" di sekitar Patong Beach.  Bagi yang cukup berani tentunya malam itu digunakan sepenuhnya untuk menjelajah Bangla Road untuk melihat Phuket daripada sudut yang berbeza.


Akhirnya kami pulang ke hotel sekitar jam 12:00 malam.  Perlu cukup rehat untuk mengharungi hari kedua keesokan harinya,  Lagipun tiada aktiviti rasmi pada hari tersebut.  Peluang yang patut digunakan sepenuhnya untuk mengenali Phuket secara lebih dekat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan