Cerita Tentang [
Luar Negara
]

Masa Untuk Berjalan-Jalan Makan Angin - Beijing #1

Alhamdulillah, hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Ini adalah antara aktiviti tahunan wajib anjuran kelab rekreasi syarikat tempat saya bekerja.

Kali ini destinasi yang hendak dituju ialah Beijing, China. Persiapan sudahpun mula dilakukan sejak beberapa minggu yang lepas [Link].

Kami diminta untuk berkumpul seawal jam 8:00 malam dan sedia untuk memulakan perjalanan menuju ke Singapura jam 8:30 malam. Penerbangan ke Beijing malam ini adalah melalui Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura.

Memang cukup lega apabila sudah melepasi CIQ kedua-dua negara tanpa banyak masalah. Semuanya berjalan lancar dan mengikut jadual yang ditetapkan, Alhamdulillah.  Kami selamat tiba di  Terminal 1 sekitar jam 9:30 malam dan terus berkumpul semula untuk bersedia melalui proses mendaftar masuk secara berkumpulan. 

Alhamdulillah semua proses berjalan dengan lancar daripada mendaftar masuk sehinggalah pesawat meninggalkan Singapura. Kami berlepas ke Beijing melalui penerbangan CA970 Air China menerusi Pintu Berlepas D32 tepat jam 12:15 tengah malam 17 Oktober 2012.



Beijing - Hari Pertama


Kami selamat tiba di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing setelah mengharungi penerbangan selama 6 jam. Namun begitu sebaik sahaja melangkah keluar dari pesawat, selain daripada perasaan teruja kami disambut dengan suhu musim luruh yang agak dingin! Mujur segala persiapan untuk menghadapi suhu yang sedemikian telahpun dilakukan sejak awal lagi. Jadi tiada apa yang hendak dirisaukan kecuali perlu segera menyesuaikan diri.

Sebelum memulakan aktiviti seterusnya, kami terus diminta untuk terus berada di Terminal 3 kerana terpaksa menunggu rakan-rakan yang lain yang mengambil penerbangan dari KLIA. Sepatunya beza masa ketibaan penerbangan menarusi Changi dan KLIA hanyalah 30 minit tetapi disebabkan terdapatnya penangguhan penerbangan, kumpulan tersebut telah terlewat hampir 2 jam. Mujur juga di Terminal 3 terdapat pelbagai kemudahan disediakan termasuklah kemudahan WiFi percuma, jadi tidaklah terasa lama sangat menunggu.

Sebaik sahaja diberitakan bahawa rakan-rakan yang lain telah selamat tiba, kami terus dibawa ke Terminal 2 dengan bas yang disediakan untuk dikumpulkan secara rasmi.



Aktiviti pertama untuk hari tersebut ialah bersarapan pagi. Kami dibawa ke sebuah restoran yang menyajikan dim sum serta makanan tradisional masyarakat Cina. Yang pastinya ianya bukan menu yang menepati citarasa! Cuma bersarapan ala kadar, menjamah apa yang boleh diterima tekak.

Beijing Olympic Park
Beijing Olympic Park


Aktiviti seterusnya ialah melawat Beijing Olympic Park. Antara yang menarik dikawasan tersebut ialah Bird's Nest Stadium serta National Aquatics Center atau lebih dikenali sebagai Water Cube. Inilah lokasi utama semasa Sukan Olimpik Beijing 2008. Untuk melawat disekitarnya dan kami diperuntukkan lebih kurang sejam setengah di lokasi tersebut. 

Luas, Panjang dan Besar


Memang tidak dinafikan kawasan ini agak luas dan menjadi tempat tumpuan pelancong. Luas, panjang dan besar memang sinonim dengan negara China. Tempat tumpuan pelancong juga sinonim dengan peniaga yang menjual cenderamata dan makanan. Bagi yang sudah menyelesaikan misi melawat disekitar kawasan tersebut, urusan memburu cendermata dimulakan!

Beijing Olympic Park
Beijing Olympic Park


Setelah selesai aktiviti di Beijing Olympic Garden, kami dibawa untuk menikmati makan tengahari disebuah restoran berhampiran dengan kawasan tersebut. Seperti insiden disebelah pagi sewaktu bersarapan, tekak dan perut masih belum dapat meyesuaikan diri dengan gaya masakan Cina. Makan apa yang boleh untuk sekadar mengalas perut. Hidangan yang pelik-pelik memang kami tidak sentuh langsung!




Selesai makan tengahari, baharulah kami dibawa ke hotel penginapan dan mendaftar masuk. Hotel Asia Pacific Garden, Beijing [Link] menjadi kediaman kami sepanjang berada di Beijing. Hotel ini sememangnya agak jauh daripada pusat bandar. Sekurang-kurang 35 minit diperlukan untuk ke hotel daripada pusat bandar Beijing. Itu pun jika keadaan jalan raya normal tanpa kesesakkan lalu lintas. Menurut pemandu pelancong kami, hanya hotel ini yang masih kosong dan dapat menampung kumpulan kami. Hotel lain sudah pun penuh kerana pada ketika itu di Beijing sedang berlangsung mesyuarat tertinggi pegawai kerajaan seluruh negara China.

Apa pun terasa sangat lega apabila dapat mendaftar masuk ke hotel untuk berehat sebentar sebelum diberitahu bahawa kami akan dibawa untuk membeli-belah di Sanlitun Yashow Clothing Market dan aktiviti hari pertama ini akan diakhiri dengan makan malam sebaik sahaja selesai membeli belah.


Sanlitun Yashow Clothing Market
Sanlitun Yashow Clothing Market


Bila diberitahu bahawa ada aktiviti membeli-belah pada hari itu secara automatik badan yang letih dapat dipulihkan! Haha... Dasar orang Malaysia! Memang sudah terkenal dan sinonim dengan aktiviti membeli belah. Sehingga semua peniaga di pusat membeli belah ini mampu berbahasa Melayu mudah untuk menarik pelanggan dan berurusniaga!

Kami diperuntukkan masa selama 2 jam untuk menjelajah disekitarnya. Maklumlah ini baru hari pertama, kebanyakkan daripada kami masih boleh menahan diri daripada membeli belah. Cuma melihat-lihat apa yang menarik sebelum merangka strategi seterusnya.


:) :( ;) :D :-/ :x :P :-* =(( :-O X( :7 B-) #:-S :(( :)) =)) :-B :-c :)] ~X( :-h I-) =D7 @-) :-w 7:P 2):) :!! \m/ :-q :-bd ^#(^

2 comments

  1. Membeli belahla syok bila jalan makan angin...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Syok.. :) Cuma perlu sediakan "WANG" secukupnya!

      Delete