BEAM

Bila Encik Anif Menulis (BEAM)

Trending

11 Disember 2011

iPad 3 Lebih Tebal? Bakal Dilancarkan Pada Februari 2012

Demam iPad 2 masih belum reda lagi. Namun begitu cerita tentang iPad 3 bakal dilancarkan sudah pun mula kedengaran. 

Penganalisis perniagaan daripada Citigroup, Richard Gardner menyatakan dalam nota penyelidikannya menjangka iPad 3 bakal dilancarkan pada Februari 2012. Menurut Gardner lagi berdasarkan sumber-sumber dalaman industri yang boleh dipercayai, gadget terbaharu Apple itu akan dilancarkan sekitar Februari 2012 berikutan tiada halangan dari segi teknikal dan teknologi yang mampu menghalang pelancarannya.  

Laporan Gardner ini bertentangan dengan laporan sebelum ini yang menyatakan Apple berdepan dengan masalah dengan modul LED yang terpaksa diubahsuai untuk menyokong resolusi tinggi yang diperlukan oleh iPad 3.

Menurut satu sumber yang lain, iPad 3 bakal mengalami sedikit perubahan fizikal iaitu dari segi ketebalannya dan berkemungkinan akan lebih tebal sedikit daripada iPad 2 iaitu meningkat sebanyak 0.7mm berikutan penggunaan modul dual-LED beresolusi tinggi. 

Dikhabarkan resolusi skrin iPad 3 adalah 2048 x 1536 pixels. Jika menggunakan teknologi dual-LED daripada vendor sedia ada iaitu Samsung, ia memerlukan sebanyak 2 bar lampu LED untuk menyokong kecerahan skrinnya. Skrin biasa hanya memerlukan 1 bar lampu LED dan penggunaan 2 bar lampu LED ini dapat menerangkan mengapa  iPad 3 bakal mengalami peningkatan dari segi ketebalannya. 

Namun disebalik peningkatan dari segi ketebalan, skrin iPad 3 masih lagi dapat menyokong dan menggunakan Apple Smart Cover sama seperti iPad 2.


Sementara itu menurut satu lagi laporan terkini berkemungkinan besar Apple tidak akan menggunakan teknologi dual-LED untuk iPad 3. Apple mungkin akan memilih SHARP sebagai vendor dan rakan niaganya memandangkan teknologi skrin daripada SHARP iaitu IGZO (indium-gallium-zinc) mampu menghasilkan skrin beresolusi tinggi disamping lebih nipis dan menjimatkan penggunaan bateri.

Apakah pengakhiran daripada cerita ini. Benarkah iPad 3 bakal memasuki pasaran pada Februari 2012? Benarkah iPad 3 lebih tebal dari iPad 2? Teknologi skrin manakah yang bakal dipilih oleh Apple untuk iPad 3? Dual-LED atau IGZO?  Sama-samalah kita tunggu!

Jika Apple memutuskan untuk memilih IGZO, bermaksud Apple sudah mengambil langkah pertama untuk menjauhkan diri daripada Samsung. Maklumlah, umum mengetahui hubungan antara kedua syarikat sejak akhir-akhir ini tidak begitu baik.

Seperkara lagi dari perspektif pihak pengguna, diharap harganya tidak mengalami kenaikan keterlaluan berikutan peningkatan fungsi dan teknologi yang bakal digunakan. Jika lebih murah daripada model terdahulu tentunya pasaran akan memberikan respon yang hebat untuk gadget ini. Lagipun Apple sudah membuat keuntungan yang agak besar melalui model terdahulu dan sudah sampai masa untuk syarikat ini mengembalikan sedikit keuntungannya kepada pengguna.

Kredit, Macworld, Apple Insider


Tiada ulasan:

Catat Ulasan