BEAM

Bila Encik Anif Menulis (BEAM)

Trending

29 Ogos 2010

Baju Basahan, Baju Jalan

Dalam pada sibuk membuat persiapan hari raya dan membeli pakaian untuk anak-anak dan isteri, tiba-tiba teringat kisah semasa Aku kecil dahulu. Kisah yang amat berkait rapat dengan pakaian.

Semasa kecil, arwah emak sentiasa mengasingkan pakaian kami adik beradik. Maksudnya sentiasa akan ada 2 kategori pakaian iaitu yang pertama Pakaian Basahan dan yang kedua Pakaian Jalan. Biar Aku terangkan apa yang dimaksudkan dengan kedua-dua kategori tersebut:

Baju Basahan


Ini ialah pakaian yang kami gunakan seharian. Maksudnya pakaian yang dipakai ketika berada di rumah untuk bermain.

Baju Jalan


Yang ini memang istimewa umpama pakaian rasmi. Pakaian yang dipakai ketika hendak keluar berjalan-jalan, melawat saudara mara serta ke majlis. Pakaian ini sentiasa disimpan didalam almari emak. Pantang untuk dipakai kalau tidak ada keperluan. Boleh kena marah kalau memakainya tanpa alasan kukuh!

Sekarang bila sudah berkeluarga, Aku sangat faham kenapa arwah emak berbuat begitu. Maklumlah dahulu kehidupan tidaklah sesenang sekarang. Untuk mendapat pakaian yang baharu terpaksa menunggu sehingga hari raya (itu pun jika ada). Jadi ia terpaksa disimpan untuk mengelakkan daripada cepat lusuh dan hanya dipakai bila hendak keluar ke bandar dan apabila ada acara penting.

Rasanya masih ada lagi ibu bapa sekarang yang masih mengamalkan kaedah pengasingan kategori pakaian ini tetapi buat keluarga kami, memang sudah tidak mengamalkannya lagi. 

Yang pastinya buat anak-anak, sudah tidak ada lagi sekatan untuk memakai pakaian yang disukai. Bila mereka suka, mereka boleh memakainya pada bila-bila masa. Asalkan mereka sentiasa kelihatan kemas, cantik dan terurus.

Alhamdulillah, Syukur pada nikmat yang diberikan...




Tiada ulasan:

Catat Ulasan