Alhamdulillah semalam banyak rumah yang berjaya dikunjungi. Maklumlah ramai yang mengambil kesempatan untuk mengadakan rumah terbuka sempena hari terakhir pada bulan Syawal dan sempena Hari Malaysia.
Memanglah bila sudah diundang, menjadi tanggung jawab kita untuk memenuhinya. Dalam pada berusaha memenuhi undangan tersebut tentunya masalah yang bakal timbul ialah bagaimana hendak menuju ke tempat tersebut? Jika kita sudah biasa dengan kawasan tersebut, memang tiada masalah untuk mencarinya tetapi jika tidak biasa memang sukar untuk mencarinya.
Bagi tuan rumah yang perihatin, biasanya mereka akan menyertakan pelan lokasi ataupun koordinat GPS bagi memudahkan para jemputan. Bagi tuan rumah yang hanya menyertakan alamat lokasi, adalah menjadi tanggung jawab kita sendiri untuk mencarinya.
Pada waktu sebegini apa yang diperlukan ialah peranti GPS ataupun perisian GPS pada telefon pintar untuk membantu mencari lokasi dengan tepat. Walau bagaimanapun, ketepatan penggunaan GPS bergantung kepada sekerap mana kita mengemaskini petanya. Jika peta yang digunakan masih lagi yang lama memang boleh pening kepala juga dibuatnya kerana lokasi tiada dalam sistem!
Apa pun kalau sudah buntu, perkara terakhir atau err.. perkara pertama yang perlu dibuat ialah menghubungi tuan rumah untuk bertanyakan arah yang betul! Malu bertanya sesat jalan! :D
Tiada ulasan:
Catat Ulasan