Mendapat panggilan daripada Abah tempohari mengajak kami sekeluarga untuk ke satu majlis perkahwinan yang diadakan di Selangor. Abah mencadangkan supaya kami menyertainya menaiki van yang baharu sahaja dibelinya.
Cadangan yang agak menarik.. dan juga mencabar. Maklumlah van tersebut bukanlah van baharu sebaliknya ia adalah sebuah van lama.
Abah dengan yakin mengatakan bahawa van tersebut boleh membuat perjalanan jauh kerana beliau sudah melakukan servis serta pembaikan yang sepatutnya. Bila tuan punya sudah yakin, saya pun tanpa banyak soal bersetuju dengan cadangan tersebut.
Mazda Bongo 1991 |
Hujung minggu lepas kami bertolak ke Meru, Klang menggunakan van tersebut. Sebenarnya sudah lama saya tidak menaiki van manakala kali terakhir memandunya pula adalah lebih kurang 20 tahun yang lalu. Tentunya ini adalah antara peluang yang tidak harus dilepaskan untuk merasai semula pengalaman tersebut.
Alhamdulillah, semuanya yang dirancang berjalan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Tiada isu mekanikal yang menggangu kelancaran perjalanan pergi dan balik. Anak-anak pula seronok kerana ini adalah pertama kali mereka menaiki van untuk satu perjalanan yang agak jauh.
Bila memandu kenderaan lama memang terasa sangat berbeza. Maklumlah kenderaan baharu tentunya dilengkapi dengan ciri-ciri yang memudahkan pemanduan manakala kenderaan lama sekadar dilengkapi dengan ciri-ciri asas.
Sejujurnya, bila memandu kenderaan lama ciri-ciri asas yang memudahkan pemanduan yang ada pada kenderaan moden yang paling saya rindui kehadirannya ialah "Power Steering"!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan