Cerita Tentang [
Luar Negara
]

Masa Untuk Berjalan-Jalan Makan Angin - Beijing #3

Great Wall of China - View from 7th Tower Badaling
Kata orang tidak lengkap lawatan ke China jika tidak menjejakkan kaki ke Tembok Besar Negeri China (Great Wall of China). Akhirnya aktiviti yang amat ditunggu-tunggu telah tiba. Aturcara hari ke 3 merangkumi lawatan ke Tembok Besar Negeri China dan kawasan Pemakaman Dinastin Ming (Ming Tomb). 

Seperti biasa kami dikehendaki bersedia untuk memulakan perjalanan tepat jam 8:00 pagi. Perjalanan ke Badaling untuk mendaki puncak menara kawalan ke 7 di Tembok Besar Negeri China memakan masa hampir sejam setengah dari hotel penginapan.


Great Wall of China


Secara umumnya, tembok besar ini dibina untuk melindungi empayar pemerintahan negeri China daripada serangan bangsa Mongol dan penakluk lain. Pertama kali ianya dibina pada kurun ke 7 sebelum masihi semasa negara China masih lagi terbahagi kepada negeri-negeri kecil. Kemudian usaha ini disambung dari satu dinasti ke dinasti yang lain dan akhirnya tembok yang telah terbina telahpun menjangkau 10,000km bermula dari bandar di Laut China iaitu Shanhaiguan sehingga ke wilayah Gangsu.


Badaling Great Wall of China 2012

Pada mulanya ramai yang menyangkakan bahawa singgah ke tembok besar ini umpama melawat tempat-tempat bersejarah yang lain. Hanya berjalan-jalan, menghayati fakta sejarah dan menikmati permandangan. Rupa-rupanya kami silap! Memandangkan kedudukannya berada dikawasan berbukit bukau, kerahan tenaga maksimum diperlukan. Mendaki binaan yang sudah wujud sejak ratusan tahun ini bukannya mudah. Tiada tangga yang dibina dengan sempurna. Malah ada laluan yang tidak mempunyai tangga langsung! Mujur diawal pendakian kami telahpun dipermudahkan dengan adanya perkhidmatan kereta kabel [Link]. Kalau tidak tentu ramai yang menarik diri. Apa pun menaiki kereta kabel ini pun sudah cukup menyeramkan! Bagi yang gayat dengan tempat tinggi memang tidak digalakkan.

Kami diperuntukkan masa selama satu jam setengah untuk naik dan turun. Cuaca yang amat bagus serta kedinginan musim luruh memang sangat membantu dalam mengharungi aktiviti seperti ini. Bila sudah sampai ke puncak dan turun semula, terasa kurang letih walaupun kaki sudah mulai sakit-sakit!

Bagi yang telah berjaya menghabiskan misi awal, deretan kedai-kedai menjual cenderamata yang berada dikaki bukit pastinya menjadi tumpuan. Diantara deretan kedai menjual cenderamata itu, saya tertarik dengan sebuah kedai yang menjual sijil penghargaan bagi yang telah berjaya mendaki puncak menara di Tembok Besar Negeri China.


Issuing Center of China Great Wall True Man Certificate


Sijil berkenaan diperbuat daripada buluh serta dibingkaikan dan nama pendaki akan diukir pada sijil berkenaan. Memang sangat sesuai untuk dijadikan kenang-kenangan dan penghargaan buat diri sendiri apabila sudah berjaya menjejakkan kaki di Tembok Besar Negeri China. Untuk yang bersaiz sederhana ia dijual dengan harga RMB90 bersamaan dengan RM45.

Hero Certificate - Great Wall of China


Sedikit tips apabila ada aktiviti seperti ini. Pemakaian kasut sukan atau kasut "hiking" adalah amat digalakkan. Jika kasut yang digunakan kurang sesuai pasti akan menyebabkan kesakitan atau lebih teruk lagi akan mengakibatkan kecederaan pada bahagian kaki.

Kilang Membuat Cloisonne


Setelah selesai segala aktiviti di Tembok Besar Negeri China, kami dibawa untuk makan tengahari. Tempat makan kali ini sangat istimewa kerana ianya merupakan sebuah bangunan yang menempatkan kilang membuat tembikar (cloisonne) dibahagian bawah manakala beberapa tingkat diatasnya merupakan ruang makan restoran halal. Premis itu juga dilengkapi dengan kemudahan surau. Malangnya saya tidak ingat apa nama tempat itu. Tetapi ada gambar tempat tersebut cuma semuanya ditulis dalam mandrin!


Beijing - Cloisonne Factory

Selepas itu kami dibawa ke kawasan Pemakaman Dinasti Ming (Ming Tomb). Dikiri dan kanan jalan menunju ke Ming Tomb, terdapat banyak ladang buah-buahan terutamanya epal yang sedang berbuah dengan lebatnya. Menurut pemandu pelancong kami lagi, sekarang di Beijing memang musim buah epal.

Ming Tomb


Setibanya di destinasi kami disambut oleh penjual buah-buahan yang sedia menunggu dihadapan pintu masuk ke kawasan pemakaman.




Seperti yang telah sedia maklum, kawasan ini sebenarnya ialah kawasan tanah perkuburan bagi Maharaja Zhu Yiyun iaitu maharaja ke 13 dalam Dinasti Ming. Beliau juga merupakan maharaja yang paling lama memerintah pada Dinasti Ming beserta 2 orang maharaninya. Keseluruhan kompleks pemakaman ini dibina dengan batu. Kompleks pemakaman ini dieksavasi bermula dari tahun 1956 hingga 1958.


Kami diberitahu bahawa kawasan pemakaman ini sebenarnya terletak didalam tanah. Jadi untuk melihat makam-makam yang ada kami perlu menggunakan tangga untuk turun ke dasar makam.



Boleh tahan juga jauhnya untuk turun ke bawah. Penat naik dan turun ke Tembok Besar Negeri China pun masih belum hilang. Ditambah lagi dengan yang ini, memang cukup menyeksakan!


Ming Tomb Muzeum

Selesai melawat kawasan pemakaman ini, keadaan persekitaran sudah mulai gelap walaupun jam baru menunjukkan pukul 5 petang. Untuk melengkapkan lagi aturcara, kami diberi pilihan sama ada mahu melawat ladang epal atau dibawa ke tempat membeli-belah. Memandangkan cuaca mulai gelap seolah-olah mahu hujan, ramai yang bersetuju supaya kami dibawa ke tempat membeli-belah. Impian untuk melihat pokok epal sedang berbuah ranum dengan lebih dekat terpaksa dilupakan kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan dan kuasa majoriti. Tidak mengapalah..

Sanlitun Yashow Clothing Market


Kami dibawa lagi ke Sanlitun Yashow Clothing Market [Link] untuk meneruskan aktiviti paling pouplar dan yang paling mendapat sambutan majoriti. Seperti biasa, 2 jam masa diberikan untuk melaksanakan misi. Memandangkan tempat ini sudah pun dikunjungi sebelum ini, masing-masing sudah cukup pakar dengan selok-belok kompleks membeli-belah ini.

Aktiviti hari ke 3 di Beijing diakhiri dengan makan malam di restoran berkonsepkan makanan mongolia sebelum dihantar pulang ke hotel. Secara amnya aktiviti hari ke 3 ini memang cukup mencabar dan sangat meletihkan. Memang terasa puas bila semua aktiviti yang dirancang dapat dilakasanakan tanpa sebarang masalah. Alhamdulillah.
  

Seorang pencinta teknologi dan sangat konservatif apabila berbicara tentang kewangan. Sentiasa mencari alternatif bagi menjadikan teknologi terkini mampu dimiliki. Menulis berdasarkan perspektif dan pengalaman sendiri. Jika anda dapati artikel diblog ini bermanfaat, sila kongsikannya di halaman jaringan sosial.
:) :( ;) :D :-/ :x :P :-* =(( :-O X( :7 B-) #:-S :(( :)) =)) :-B :-c :)] ~X( :-h I-) =D7 @-) :-w 7:P 2):) :!! \m/ :-q :-bd ^#(^

Post a Comment