BEAM

Bila Encik Anif Menulis (BEAM)

Trending

16 Ogos 2009

Masa Untuk Berjalan-Jalan Makan Angin - Jakarta & Bandung #4

Ini adalah Koleksi Catatan Perjalanan - Masa Untuk Berjalan-Jalan Makan Angin - Jakarta & Bandung #4

Hari terakhir kami di Jakarta. Terasa panjang pula waktunya. Dari bersarapan sehinggalah ke "check out" dari hotel! Semuanya terasa seperti "slow motion". Mungkin disebabkan keletihan..



Aktiviti terakhir sebelum kami ke lapangan terbang ialah melawat Taman Mini Indonesia. Ala lebih kurang macam pergi ke Mini Malaysia.. Indonesia negara yang luas, pergi ke Mini Indonesia seolah-olah kami telah melawat hampir ke seluruh Indonesia!




Pelbagai bentuk replika rumah terdapat di sana mewakili setiap provinsi yang ada di Indonesia tetapi kami hanya melawat 4 daripadanya iaitu Sulawesi Selatan, Aceh, Papua dan Sumatera Barat.





Walaupun taman ini di panggil Mini Indonesia, semua replika rumah-rumah di sini dibina menggunakan skala sebenar. Kalau hendak melawat semua provinsi mungkin memakan masa separuh hari untuk dilengkapkan kesemuanya. Memang seronok berkunjung ke Mini Indonesia. Hampir 2 jam kami di sana, ianya memberikan perspektif secara am mengenai kepelbagaian bangsa, budaya dan agama yang ada di Indonesia.






Untuk makan tengahari, kami di bawa ke Restoran Raja Laut di Jakarta. Restoran ini menyajikan makanan laut. Kami makan dengan agak pantas untuk memberi ruang kepada "last minute shopping" sebelum berangkat ke lapangan terbang.

Selesai makan tengahari, kami di bawa ke ITC Cempaka Emas untuk mencari ole-ole tambahan untuk dibawa pulang ke Malaysia. Kompleks membeli belah ini amat luas dan besar. Setiap tingkat tidak kurang dari 100 kedai dan kompleks itu mempunyai 6 tingkat! Patutlah ada diantara kami yang tidak jumpa jalan keluar! Mujur tidak ditinggalkan :D

Kami meninggalkan ITC Cempaka Emas sekitar pukul 2:00 petang untuk terus ke Soekarno Hatta. Perjalanan ke sana mengambil masa kira-kira sejam. Setibanya di sana kami dapati kawalan keselamat amatlah ketat. Semua pintu masuk dikawal rapi oleh petugas keselamatan. Kami faham dengan situasi tersebut cuma ianya sedikit sebanyak menyebabkan kelancaran memasuki lapangan terbang terganggu. Walaubagaimana pun semuanya berjalan mengikut jadual. Kami berada di Soekarno Hatta hampir 2 jam awal dari jadual pernerbangan.

Sementara menunggu di balai berlepas, kami mengikuti siaran TV Indonesia dan kebetulan pada masa itu berita sedang di siarkan. "Highlight" berita hari itu ialah "Mbah Surip" meninggal dunia! Kami mendengar cerita tentang Mbah Surip dari Bapak Irwan semasa di dalam perjalanan menuju Bandung dari Jakarta. Sebelum ini dunia di kejutkan dengan pemergian Micheal Jackson, Malaysia di kejutkan dengan pemergian Yasmin Ahmad dan kini tiba giliran Indonesia pula dikejutkan dengan pemergian Mhab Surip. "I Love You Full Ha ha ha.. " - Mbah Surip!

Kami menaiki PenerbanganTiger Airways TR273 jam 5:45 petang dan tiba di Changi, Singapura pada pukul 8:30 malam. Err balik kena tambah sejam :D (GMT + 8) tu yang nampak macam lewat sampai! Walaupun dah mendarat kami masih lagi di negara lain, masih belum sampai ke Malaysia! Masih ada 30 minit perjalanan untuk ditempuhi sehingga melintasi Tambak Johor.

Alhamdulillah! Setelah melalui 3 kali pemeriksaan imigresen kami selamat tiba di Johor Bahru sekitar 9:45 malam. Dari "drop point" kami menuju ke destinasi masing-masing dengan perasaan yang amat gembira walaupun keletihan. Kenangan semasa di Bandung dan Jakarta akan menjadi bahan cerita untuk sekurang-kurangnya seminggu di pejabat!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan