Antara topik yang tidak diajar semasa di sekolah dan universiti secara formal ialah Pengurusan Kewangan Peribadi. Ramai yang menganggapnya tidak penting kerana fokus utama tentunya terhadap pelajaran dan kemudiannya mendapatkan pekerjaan yang bergaji besar!
Terjebak Dalam Hutang |
Sebenarnya pegurusan kewangan perlu didedahkan terhadap setiap manusia sebaik sahaja mereka mengenal wang sebagai perantaraan pertukaran. Bagi keluarga yang mempunyai kesedaran tinggi tentang pengurusan kewangan, perancangan mereka bermula sejak anak masih berada didalam kandungan lagi!
Ramai diantara kita terjebak didalam masalah kewangan disebabkan kurang kesedaran tentang bagaimana untuk mengurus sumber pendapatan dan perbelanjaan dengan baik. Malah ramai yang terjerumus ini sebenarnya terdiri daripada professional muda yang sepatutnya tahu bagaimana untuk mengurus kewangan diri dengan baik.
Bagaimana Boleh Terjebak?
Berdasarkan pengalaman, kebanyakkan mereka ini terjebak sebaik sahaja mereka mendapat pekerjaan pertama. Harus diingat kebanyakkan dari graduan, semasa belajar tentunya ada mengambil pinjaman dengan JPA, MARA, PTPTN dan Yayasan Negeri. Maksudnya sebaik sahaja tamat belajar, hutang telah sedia menunggu!
Menambah Hutang Kedua
Biasalah bila sudah mula bekerja dan mendapat pendapatan yang agak baik, mereka berhasrat pula meningkatkan taraf hidup. Kalau dahulu menaiki kenderaan awam atau bermotorsikal, sudah sampai masa untuk membeli kereta. Mula menambah hutang kedua. Bayaran deposit minimum dan tempoh pinjaman maksimum 9 tahun. Tidak mengapa kerana mereka masih bujang dan pastinya mampu untuk menanggung dua hutang.
Bila sudah berkereta, tentulah tidak menarik jika tidak dipasang dengan aksesori. Orang mudalah katakan.. Sport rim! Oh itu sudah pasti.. Tayar import berprofil rendah! Sistem audio hebat yang menyokong iPhone, teknologi Bluetooth berserta skrin sesentuh dan GPS! Semua yang dihajati semasa zaman belajar cuba dipenuhi. Kemudian bila mula berkira-kira untuk membeli, barulah menyedari.. "Oh kena simpan sedikit wang dahulu baru boleh membeli sistem audio idaman itu". Alhamdulillah akhirnya terdetik untuk menyimpan!
Menambah Hutang Ketiga
Satu hari ketika berjalan di sebuah pusat membeli belah, didatangi seorang agen kad kredit yang comel. Agen tersebut menyakinkan yang anda mampu untuk untuk memiliki barangan yang dihajati dengan menggunakan kad kredit! Beli dahulu, bayar kemudian dan cuma perlu bayar minimum 5% setiap bulan keatas baki tertunggak. Wah! hebat! Tidak tahu ada produk kewangan sebegini hebat ada dipasaran! Err.. tanpa disedari mula menambah hutang ketiga!
Ada kereta cantik dan pekerjaan yang bagus. Mesti ada wanita yang menyukai dan disukai. Masa berlalu, dimulai dengan perkenalan, akhirnya mengambil keputusan untuk bertunang dan berkahwin. Setelah berkira-kira dan mencongak. "Err kena mula menyimpan, kalau tidak tidak sempat untuk kumpul wang untuk hantaran serta belanja perkahwinan". Alhamdulillah akhirnya terdetik sekali lagi untuk menyimpan!
Menambah Hutang Keempat
Satu hari ketika melakukan "blog walking" dan "online banking" di internet, ternampak iklan mengenai pinjaman peribadi. Tanpa penjamin, mudah dan kelulusan segera! Boleh menyelesaikan apa sahaja masalah dan perkara yang dihajati. Sambil berkira-kira dan mencongak, "Hmmm ok lah.. mohon pinjaman peribadi, bila dah dapat wang pinjaman itu nanti, boleh menyelesaikan hutang kad kredit dan buat belanja perkahwinan." Nak pinjam berapa agaknya? RM30,000 cukup rasanya.. Apa-apa hal pun perkahwinan perlu disegerakan. Hutang nanti boleh dibayar kemudian. Err.. tanpa disedari mula menambah hutang keempat!
Hutang Keempat Menghapuskan Hutang Ketiga!
Jika sudah ada empat hutang yang perlu dibayar. Eh! Tiga sebenarnya, sebab pinjaman keempat menghapuskan pinjaman ketiga. Uish bijak juga strategi ini! Ambil hutang untuk hapuskan hutang lain! Tetapi realitinya masih tidak akan meredakan keadaan. Kalau semua hutang tersebut telah pun merangkumi 50% atau lebih dari pendapatan, anda telah pun dikira terjebak!
Lebih kurang begitulah situasi dimana mereka ini terjebak pada awalnya. Mungkin menyangka yang mereka ini mampu untuk membayar hutang tanpa mengambil kira langsung hal-hal kecemasan yang bakal berlaku dan keadaan ekonomi semasa. Atau mereka juga menyangka yang langit sentiasa cerah, jadi tak perlulah menyediakan payung sebelum hujan!
Apa-apa pun berhati-hatilah ketika mengambil hutang baru terutamanya hutang kad kredit. Kalau boleh mula menyimpan seawal mungkin. Berhutang tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya akan mendatangkan masalah yang lebih besar jika tidak mampu membayarnya.
Sebagai panduan sila muat turun E-Book ini secara percuma.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan